KUALA LUMPUR: Bakal berduet dengan penyanyi, Ara Johari, peserta Big Stage musim ke-5, Putera Muhammad berharap dapat memperdengarkan kekuatan vokal sebenar pada konsert minggu ke-9 program tersebut, Ahad ini.
Katanya, pada peringkat ini, dia perlu mempamerkan kebolehan vokal pada tahap maksimum untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.
“Saya pernah bawa lagu rentak perlahan sebelum ini tetapi lagu-lagu tersebut bukanlah yang bernada terlalu tinggi.
“Namun saya harap percubaan dengan Ara untuk menyampaikan lagu balada bernada tinggi Ahad depan, menjadi,” katanya.
Putera pada konsert Big Stage minggu ke-8 selesa di tempat kedua selepas meraih markah keseluruhan (juri) sebanyak 90 peratus.
Tempat pertama dipegang penyanyi bersuara lantang, Nadeera Zaini dengan markah keseluruhan juri sebanyak 95 peratus.
Putera dan Ara Ahad ini bakal membawakan lagu Kisah Ku Inginkan yang dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika.
Disoal tentang strategi, penyanyi berusia 30 tahun itu menjanjikan persembahan segar dan berlainan.
“Saya sering diberikan lagu penyanyi perempuan. Bagi saya, lagu tiada gender, hanya ada muzik dan lirik.
“Perancangannya adalah untuk menyampaikan setiap lagu dengan cara sendiri agar ia kedengaran segar, ibarat lagu itu lagu saya,” kongsinya.