GOPENG: Persepsi kurang tepat terhadap bidang pertanian menjadi punca golongan belia kurang berminat untuk menceburi bidang tersebut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, ini kerana golongan itu mungkin berpandangan bidang pertanian satu karier yang susah, kerana perlu bekerja di bawah panas matahari.
Menurutnya, namun melalui sistem teknologi sekarang, pertanian tidak semestinya diusahakan dengan cara tradisi.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan golongan belia menggunakan teknologi moden, menyediakan program serta skim pembiayaan dan geran pertanian untuk golongan itu menceburi sektor pertanian.
“Penggunaan teknologi pintar dapat menarik perhatian dan minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian dan melihat bidang ini sebagai salah satu kerjaya di masa hadapan.
“Kerajaan juga menyediakan program berkaitan pertanian termasuk pinjaman serta geran khas untuk golongan belia,” katanya kepada pemberita pada Program Perak FAMA Fest di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed.
Beliau mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini mengenai golongan belia kurang berminat dalam bidang pertanian.
Menerusi laporan itu, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, dalam tempoh tiga tahun, penglibatan anak muda menurun daripada 1,149 orang pada 2020 kepada 791 orang pada 2021 dan berkurangan kepada 704 pada tahun 2022, sekali gus mengundang kebimbangan ketiadaan barisan pelapis serta masa depan keterjaminan makanan negara.
Katanya, hanya sebahagian kecil menunjukkan minat, itu pun mewarisi pertanian diusahakan keluarga dan sambutan dingin itu dipengaruhi beberapa faktor seperti kekangan modal permulaan, bimbingan teknologi dan tunjuk ajar serta kurang promosi serta tiada pemantauan berterusan.
Sementara itu, Foong Hin berkata, program FAMA Fest akan diperluaskan di seluruh negera.
“Program ini bermula pada bulan Februari lalu di Miri, Sarawak, hari ini di Perak dan seterusnya di Johor, Penang dan Terengganu.
“Keseluruhan nilai jualan yang disasarkan dalam program ini adalah sebanyak RM5 juta dengan penglibatan seramai 300 orang usahawan,” katanya. – UTUSAN