JOHOR BAHRU: Perpaduan rakyat berbilang kaum kian meningkat selari dengan penubuhan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara itu dibuktikan menerusi hasil Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) yang dilakukan sebelum ini dan pihaknya turut akan melaksanakan kajian kali ketiga pada tahun ini.
“Kita ada cara mengukur tahap perpaduan. Pada tahun lalu, IPNas telah dilaksanakan secara bersama dengan Institut Kajian Etnik (Kita) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan sedikit peningkatan kepada 0.62 berbanding 0.57 berdasarkan kajian dibuat pada 2018.
“Kita dapati ada peningkatan dalam tahap perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan sekarang kita ada slogan baharu, iaitu Kerajaan Perpaduan dan Malaysia Madani, lalu kita ambil peluang itu untuk tingkat lagi perpaduan rakyat. Kita telah sediakan kerangka perpaduan yang memberikan fokus utama terhadap dua aspek, iaitu kebudayaan dan kemasyarakatan, manakala aspek lain seperti ekonomi, perundangan itu kita serah kepada kementerian masing-masing,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai Tahun 2023 di Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang, malam tadi.
Aaron memberitahu, kerajaan juga akan mengembalikan pelbagai program semarak kenegaraan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan komuniti di negara ini.
“Kita akan hidupkan kembali semangat rakyat Malaysia yang cintakan negara dan sejarahnya, antaranya menerusi program Semarak Kenegaraan yang akan meningkatkan kembali amalan membaca ikrar Rukun Negara. Dahulu mungkin kerap diamalkan di peringkat sekolah, tetapi selepas itu sudah kurang.
“Kedua, Semarak Perpaduan seperti program ‘Unity Walk’ dan Semarak Rahmah di peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang akan menghimpunkan rakyat berbilang kaum dalam sesebuah komuniti untuk melakukan aktiviti bersama-sama,” katanya.
Aaron Ago turut memaklumkan penganjuran Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai Tahun 2023 merupakan simbolik bagi perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Di Johor, dianggarkan seramai 35,000 masyarakat Borneo menetap di sini dan saya amat berbangga dengan semangat Bangsa Johor yang menitikberatkan aspek kebersamaan dan kekitaan dalam menerima kepelbagaian budaya di Malaysia. Jadi, sambutan ini diadakan bertujuan untuk meraikan mereka yang tidak dapat pulang merayakannya di kampung halaman selain turut bersama-sama penduduk di sini,” katanya.
Perayaan Tadau Kaamatan disambut oleh masyarakat pribumi Sabah pada 30 dan 31 Mei, manakala Gawai Dayak disambut oleh masyarakat pribumi Sarawak pada 1 dan 2 Jun setiap tahun sebagai tanda kesyukuran selepas berakhirnya musim menuai dan bermulanya musim menanam padi yang baharu. – UTUSAN