Perlis punyai kelebihan dalam sektor pelancongan - Utusan Malaysia

Perlis punyai kelebihan dalam sektor pelancongan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berangkat melancarkan promosi masakan Perlis di Chillies Addis Hotel & Restaurant, Addis Ababa, Ethiopia baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kelebihan Perlis yang mempunyai landskap dan tarikan alam semula jadi yang indah memberi peluang kepada negeri ini memperkasakan sektor pelancongan.

Sebagai rekod, pada tahun 2022, seramai 2.7 juta pelancong datang ke Perlis.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sektor pelancongan juga mampu berfungsi sebagai ejen perubahan terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial negeri ini.

“Landskap Perlis adalah satu anugerah yang tidak terhingga dikurniakan Allah SWT dan dengan kelebihan ini menjadikan Perlis satu negeri yang mempunyai tarikan semula jadinya yang tersendiri.

“Kelebihan ini juga memberi peluang kepada negeri ini memperkasakan sektor pelancongan.

“Ia juga berupaya mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baru menjana peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat khususnya masyarakat setempat,” titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan promosi masakan Perlis di Chillies Addis Hotel & Restaurant, Addis Ababa, Ethiopia baru-baru ini.

Berangkat sama ke program yang dianjurkan oleh MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan juga restoran makanan India tersebut bersempena Program Safar Ilmi MAIPs itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda berdua berkenan menyerahkan plak simbolik pelancaran kepada Pengurus Besar restoran berkenaan, Pradeepan Pachiriyan.

Menu khas yang diperkenalkan pada kali ini untuk disajikan selama dua minggu di dalam menu restoran tersebut ialah kurma daging Perlis.

Titah baginda lagi, walaupun jarak yang jauh untuk pelancong dari Ethiopia datang ke Perlis, namun baginda memperkenalkan negeri ini khususnya kepada golongan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di beberapa buah institut pengajian tinggi yang ada di Perlis seperti Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

“Terdapat banyak perbezaan dan juga persamaan antara dua adat, budaya dan lanskap antara Ethiopia dan Perlis,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya