Perlis perkasa produk kebudayaan, makanan dijadikan tarikan pelancong - Utusan Malaysia

Perlis perkasa produk kebudayaan, makanan dijadikan tarikan pelancong

MOHD. Shukri Ramli (dua dari kanan) bersama Md. Anizam Abdul Rahman (dua dari kiri) menyerahkan sijil dan plak penghargaan kepada salah seorang penerima sewaktu Majlis Perasmian Penutup Festival Silang Budaya Kelantan-Perlis di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan menyusun semula produk-produk kebudayaan dan makanan di Perlis yang berpotensi untuk diketengahkan kepada pelancong-pelancong luar.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan Kelantan memandangkan pihak terlibat telah melakukan penyusunan produk-produk mereka dengan sebaiknya untuk diketengahkan kepada orang ramai.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, negeri ini sememangnya mempunyai banyak produk kebudayaan berpotensi seperti awang batil, tarian canggung, zapin, hadrah, silat pulut dan pelbagai lagi.

“Begitu juga dengan makanan di Perlis mungkin kita boleh ketengahkan supaya orang dapat mengenali negeri ini dengan lebih dekat.

“Buat masa ini, saya tak nampak lagi penyusunan produk kebudayaan dan makanan namun kita akan susun semula semua ini dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis bersama kerajaan negeri untuk diperkenalkan kepada orang luar,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Silang Budaya Kelantan-Perlis di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencungkil bakat-bakat baharu baru dalam meneruskan produk kebudayaan di negeri ini.

Katanya, kebanyakan daripada produk kebudayaan negeri ini tidak diwarisi oleh golongan pelapis dan kerajaan negeri akan membantu memainkan peranan agar anak muda dapat meneruskan warisan berkenaan.

“Untuk tujuan itu, kita mungkin boleh cari orang-orang lama yang memahami sesuatu produk kebudayaan di negeri ini untuk diwarisi kepada golongan muda,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, program silang budaya yang dianjurkan itu adalah bertujuan bagi mengeratkan silaturahim antara dua pihak disamping mengenali budaya Melayu di Kelantan.

Katanya, Perlis dan Kelantan mempunyai banyak persamaan malah kedua negeri ini juga bersempadan dengan Thailand dan mampu menarik kehadiran pelancong dari negara jiran ke sini.

“Kita harap dapat jalin kerjasama dengan Perlis lebih erat dalam usaha menarik pelancong disamping memperkenalkan potensi produk kebudayaan negeri masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya