Perkasa belia keutamaan kerajaan

Perkasa belia keutamaan kerajaan

KERAJAAN merangka pelbagai bentuk inisiatif dan program di bawah Belanjawan 2023 bagi memberi penekanan kepada pemerkasaan belia berorientasikan masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemerkasaan golongan belia sentiasa menjadi keutamaan dalam sebarang keputusan dibuat Kerajaan Perpaduan kerana golongan itu adalah pemegang taruh utama di negara ini.

Malah, kerajaan melalui Belanjawan 2023 merangka pelbagai bentuk inisiatif dan program bagi memberi penekanan kepada pemberdayaan belia berorientasikan masa depan bagi menangani isu-isu sebenar yang dihadapi semua kelompok belia di Malaysia.

Ia antaranya dalam aspek pendidikan, latihan, daya cipta, daya tahan, kemahiran, teknologi, kesukarelawanan, kebersamaan dan tradisi yang sejajar dengan gagasan Malaysia Madani.

HANNAH YEOH

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, semua program yang dirangka bersifat inklusif dengan hala tuju baharu kementeriannya pada masa kini adalah untuk memperluaskan skop pembangunan belia melangkaui pembangunan kepemimpinan.

“Antara program yang dilancarkan ialah Skills for Life yang diadakan pada hujung minggu. Objektif program adalah mempelajari kemahiran baharu supaya belia dapat mengguna kemahiran tersebut untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup.

“Kementerian Belia dan Sukan juga akan melancarkan Rakan Muda. Program ini menjadi program flagship kementerian yang meliputi pembangunan potensi belia, pembentukan karakter belia, identiti, semangat kesukarelaan dan perpaduan,” katanya.

Semua kelompok belia diambil kira

Antara program dan inisiatif Kerajaan Perpaduan bagi belia dirangka dengan mengambil kira semua kelompok belia sama ada kaum minoriti, orang kurang upaya (OKU), belia yang tercicir dari persekolahan, belia dengan penyakit kritikal, yang sedang membina hidup selepas keluar dari penjara dan semua kelompok belia di pinggiran.

Kerajaan melalui Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani juga memperkenal pelbagai inisiatif yang berupaya meningkatkan kesejahteraan hidup belia secara holistik.

Belanjawan 2023 itu turut memberi perhatian kepada ekonomi gig sebagai kerjaya alternatif mahupun kerjaya utama bagi belia, selain inisiatif bagi memastikan peluang pekerjaan dengan gaji bermaruah, kemudahan pinjaman dan modal perniagaan.

Belia berisiko dan belia terpinggir juga adalah fokus utama Kerajaan Perpaduan.

Justeru, kerajaan mengambil tindakan untuk meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat. Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei dan di Dewan Negara pada 19 Jun lalu.

Sementara menunggu pindaan ini dikuatkuasakan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac lalu. Pada masa sama kerajaan menyasarkan 130,000 rakyat dilepaskan daripada status muflis setelah lulus pindaannya.

Pelbagai program, inisiatif sokong belia ceburi perniagaan

Kerajaan juga akan memberikan bantuan eBeliaRahmah secara ‘one-off’ sebanyak RM200 kepada belia berumur 18-20 tahun atau pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa.

Belanjawan 2023 melalui pelbagai kementerian lain termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Kewangan juga menyediakan pelbagai inisiatif untuk menyokong usahawan belia dan menggalakkan golongan belia menceburi bidang perniagaan.

Kesemua inisiatif berkenaan merangkumi RM15 juta bagi Program Pemecut Permulaan (STAR) melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara), RM20 juta dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), RM150 juta dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RM90 juta (SME Bank).

Kerajaan juga menyediakan beberapa inisiatif kepada golongan belia yang sedang atau yang sudah tamat belajar sebagai satu usaha meringankan beban mereka.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, inisiatif yang dirangka dan disalurkan itu jelas memperlihat komitmen kerajaan dalam memperkasa golongan belia di negara ini.

Beliau berkata, ini kerana peruntukkan terutama melalui Belanjawan 2023 itu mencakupi semua aspek yang diinginkan belia terutama dari segi pekerjaan, ekonomi dan bantuan tunai.

“Kalau mahu kata cukup, sudah tentu tidak cukup, tetapi ia mencakupi semua aspek, sesuai serta mencapai apa yang belia mahu dari segi pekerjaan dan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.

Belia bagaimanapun disarankan untuk mendapatkan maklumat mengenai inisiatif dan program melalui portal Manfaat di belanjawan.mof.gov.my/manfaat.

Portal Manfaat adalah jalan penyelesaian kepada mereka yang memerlukan informasi bantuan kerajaan dengan carian yang mudah.

INFO

INISIATIF KEPADA BELIA DI BAWAH BELANJAWAN 2023:

» Insentif caruman Perkeso kepada majikan yang menggaji graduan TVET sebanyak RM600 untuk tiga bulan, atas gaji mereka. (RM45 juta).

» Program peningkatan kemahiran ‘micro-credential’ untuk pekerja gig dengan memberi peruntukan sehingga sebanyak RM4,000 yuran latihan dan RM300 sebagai elaun untuk tiga bulan sebagai pengganti gaji. (RM40 juta).

» Yuran latihan sehingga RM2,500 untuk 30,000 pekerja gig untuk latihan ‘micro-credential’. (RM20 juta).

» Syarikat milik kerajaan (GLC) menawarkan 35,000 peluang pekerjaan kepada lepasan sekolah dan graduan baharu.

» Tanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal, teksi dan e-hailing, kurangkan beban belia terutama dari kumpulan B40.

» Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) sediakan belia kemahiran dan pengetahuan keusahawanan asas serta pendedahan kepada perniagaan (RM10 juta).

INISIATIF MENYOKONG USAHAWAN BELIA:

Mara
i) RM15 juta bagi STAR
» Fokus konsep pembangunan usahawan secara keseluruhan melalui pusat inkubator dengan menyediakan ruang dan peralatan perniagaan
ii) RM5 juta bagi Program Usahawan Lepasan Institusi Pendidikan Mara/Belia (PUTRA).
» Skim pembiayaan perniagaan khas dengan membiayai modal pusingan, pembelian mesin dan peralatan.
iii) RM9 juta bagi Program Pembangunan Usahawan Teknikal (PUTEK).
» Kemudahan pembiayaan memulakan perniagaan dalam bidang teknikal.
» Kemudahan ditawarkan dalam bentuk geran sepadan merangkumi 60 peratus pembiayaan dan 40 peratus geran untuk pembelian mesin dan peralatan serta modal kerja.

Tekun
i) RM10 juta – Belia Mobilepreneur.
» Bantu usahawan perkhidmatan penghantaran berdaftar menggunakan motosikal untuk pembelian dan motosikal serta modal kerja.
ii) RM10 juta – Galakkan belia ceburi bidang perniagaan kembangkan perniagaan sedia ada (had umur 18 tahun – 40 tahun).

BSN
i) RM50 juta – Skim Mikro Kasih Penjaja: Muda.
» Pembiayaan mikro bantu dan sokong penjaja dan perniagaan kecil dalam pembelian aset, modal kerja serta pengubahsuaian premis.
ii) RM100 juta – Skim Mikro Kasih: Mikro-Belia.
» Pembiayaan mikro bantu dan sokong perniagaan usahawan mikro dalam pembelian aset dan modal kerja.

SME Bank
i) RM90 juta – Dana Pemberdayaan Usahawan Muda (YEF 2.0).
» Pembiayaan bantu dan sokong usahawan muda kembangkan perniagaan selepas Covid-19 atau mulakan perniagaan baharu di bawah inisiatif Umbrella SME Bank. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya