SEREMBAN: Perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani oleh Malaysia dan Indonesia baru-baru ini tidak melibatkan kawasan blok Ambalat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu persempadanan di kawasan Ambalat termasuk beberapa kawasan lain di kawasan Sabah belum diselesaikan antara kedua-dua buah negara.
“Apa yang belum selesai? Kawasan yg disebut sebagai Ambalat, itu belum selesai. Kawasan di Sabah ada kawasan yang belum selesai, Pulau Sebatik juga belum diselesaikan.
“Saya katakan kepada Presiden Jokowi (Joko Widodo), kita tandatangan yang sudah diselesaikan,” katanya sewaktu berucap melancarkan Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Nilai di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa Perdana Menteri dan Menteri Luar memberi penjelasan berhubung isu blok Ambalat selepas menandatangani perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia pada 8 Jun lalu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, semua pihak sepatutnya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai senjata permusuhan sebaliknya perlu memberikan cadangan supaya negara menjadi lebih baik.
Tambah beliau, ketika ini terdapat banyak fakta tidak tepat dan fitnah yang dilemparkan dalam media sosial oleh segelintir pihak berkenaan usaha kerajaan membantu rakyat.
“Perkara ini tidak betul, saya tidak mungkin tandatangani, Indonesia itu satu rumpun, hubungan satu keluarga, saya tidak mahu bermusuh dengan Indonesia. Kita berjiran saling bergantungan malah kita mahu tingkatkan persahabatan dengan Indonesia,” katanya lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri sekali lagi menjelaskan bahawa kenaikan purata tarif elektrik hanya melibatkan penggunaan melebihi 1,500 kiloWatt dan tidak membebankan golongan kurang berkemampuan.
“Kempen (pembangkang) kata ia beban kepada rakyat, siapa yang putus mahu naikkan dulu? kerajaan terdahulu buat keputusan itu, ada hitam putih.
“Kita terpaksa naikkan kadar elektrik mulai tahun ini. Nasib baik Allah SWT bantu, kerajaan tidak menaikkan elektrik kerana PN ambil alih, kadar yang naik itu untuk orang kaya, mengapa naik? Kerana subsidi tinggi, orang kaya kita bagi insentif dan mereka boleh berniaga dan mendapat untung.
“Orang biasa, penjawat awam tidak termasuk dalam kategori kena bayar kadar elektrik yang lebih tinggi. Kita ambil langkah ini supaya wang itu kembali kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN