Perempuan di dalam drama Korea Selatan - Utusan Malaysia

Perempuan di dalam drama Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika anda peminat drama-drama dari Korea Selatan, bagus, kita nampaknya sekepala. Sudah semestinya artikel ini saya tulis untuk kita bersama.

Sebelum menyelam lebih dalam bagaimana evolusi cerita drama Korea Selatan lima tahun belakangan ini, saya ingin membawa anda menyingkap sebuah insiden besar yang terjadi di Korea Selatan di Gangnam pada tahun 2016.

Pada jam satu pagi, seorang perempuan berusia 23 tahun ditikam sehingga mati di sebuah tandas berdekatan stesen Gangnam oleh seorang lelaki. Apa yang lebih mengejutkan, lelaki itu tidak pernah pun mengenali wanita berkenaan. Alasan lelaki itu menjadi pembunuh adalah mudah, ‘saya tikam dia sebab saya selalu dipandang rendah oleh perempuan,’

Isu itu menjadi sangat besar dan telah membakar api kemarahan yang sangat marak dalam kalangan wanita di Korea Selatan. Kejadian itu menunjukkan bahawa kebencian terhadap perempuan sangat menebal di negara itu dan sesiapa sahaja yang berjantina wanita boleh menjadi mangsa pembunuhan.

Berduyun-duyun individu datang ke stesen Gangnam membawa bunga dan menampal nota bagi memperingati kematian wanita berkenaan. Ia menoreh luka yang sangat dalam bagi masyarakat Korea Selatan. Kejadian itu memicu sebuah gerakan pemerkasaan wanita yang sangat hebat sehingga merebak ke dunia lakon layar mereka.

Semestinya, bahang perubahan ini mengubah bagaimana wanita ditampilkan di dalam skrin. Mereka pula menyasarkan sekurang-kurangnya 94.6 peratus penulis skrip perempuan.

Ada sebuah teori yang sangat popular iaitu Feminist Film Theory menceritakan wanita selalu dipotretkan dari kaca mata lelaki sebagai objek seksual. Jika wataknya ada di dalam naskhah sekalipun, ia bersifat pasif sekadar penyeri tanpa ditunjukkan bagaimana ia berfungsi.

Laura Mulvey dalam Visual Pleasure and Narrative Cinema pernah mempersoal mengapa kamera selalu memfokuskan tubuh badan pelakon wanita.

Namun, dalam lima tahun belakangan ini, perempuan di dalam naskhah drama Korea Selatan menunjukkan perubahan yang sangat ketara. Walaupun terdapat babak intim dan romantis dalam genre romantik komedi, ia akan ditampilkan penuh kasih sayang. Tidaklah menimbulkan perasaan kurang selesa jika kaum wanita menontonnya.

Bukan itu sahaja, menariknya, ia mula menampilkan watak utama daripada perspektif seorang wanita (sekadar menyebutkan beberapa) seperti dalam drama Crash Landing on You (2019),

Mr.Queen (2020), Hometown Cha-Cha-Cha (2021), Twenty Five-Twenty-One (2022). Watak yang ditampilkan mempunyai peribadi yang kuat dan mempunyai kerjaya yang kukuh.

Tidak hanya sekadar genre romantik komedi, perubahan ini juga berlaku dalam naskhah di genre seperti fantasi, thriller dan aksi. Ini dapat dilihat dalam drama My Name (2021) yang dibawakan Han-So hee ketika misinya mencari pembunuh sebenar bapanya.

Turut mendapat rating yang baik adalah Little Women (2022) bagaimana tiga beradik wanita berpetualang membela keluarga mereka yang miskin daripada ditindas. Kemudian diikuti kejayaan Extraordinary Attorney Woo (2022) menampilkan seorang peguam wanita autistik. Drama itu mencuri tumpuan sehingga tercalon untuk 2023 Critics’ Choice Award.

Tidak ketinggalan drama ikonik The Glory (2023) tentang seorang perempuan mangsa buli yang bangkit daripada kisah silam. Drama itu memenangi tiga anugerah di Baeksang Arts Award tahun ini. Terkini, sebuah drama Dr. Cha pula hangat diperkatakan walaupun watak utamanya adalah seorang wanita di umur 50-an.

Menurut laporan KBS, memang berlaku peningkatan pemilihan wanita sebagai watak utama sebanyak 53 peratus berbanding 49.9 peratus pada 2020.

Senario ini dilihat sebagai pertumbuhan sihat dalam ekosistem industri lakon layar Korea Selatan. Banyak nama menyerlah kerana terlibat dengan projek drama yang cemerlang.

Lima tahun ini menyaksikan wanita dipaparkan sangat terhormat di dalam drama. Kamera banyak memberi fokus kepada raut wajah dan perubahan emosi pelakon berbanding tubuh badannya.

Namun begitu, mungkin selepas ini Korea Selatan bakal membawakan pelakon-pelakon wanita dengan bentuk tubuh yang pelbagai dan tidak hanya terikat kepada stereotaip kecantikan bertubuh langsing semata-mata.

Jika melihat kepada kejayaan drama Dr. Cha, Korea Selatan nampaknya sudah bersedia ke arah itu. Tahniah!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya