PUTRAJAYA: Semua ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) perlu memanfaatkan peluang untuk mengasah potensi dan bakat kepimpinan mereka melalui aktiviti berpersatuan, kata Penaung Puspanita, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Ini kerana katanya, aspek pembangunan diri dan kemahiran interpersonal merupakan antara elemen penting dalam kerangka Malaysia Madani yang ditekankan oleh kerajaan pada hari ini khususnya untuk pembangunan modal insan yang lebih baik.
“Peranan isteri dan kakitangan wanita ini amat besar kerana tugasan mereka tidak berakhir di pejabat sahaja tetapi berlanjutan sehingga ke rumah. Oleh itu, hargai penat lelah mereka yang turut menyumbang secara langsung kepada pembangunan dan kemakmuran negara,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita Kali Ke-41 dan Sambutan 40 Tahun Puspanita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, ahli-ahli Puspanita di seluruh negara juga merupakan agen perubahan yang wajar dimanfaatkan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, melalui perancangan yang betul dan kerjasama bersama pelbagai pihak yang sesuai, Puspanita akan memainkan peranan lebih penting selepas ini dalam agenda pembangunan negara.
“Saya difahamkan Puspanita kini berkembang dengan jumlah keahlian mencecah hampir 150,000 ahli di seluruh negara dan tahun ini juga merupakan sambutan 40 tahun penubuhan Puspanita.
“Oleh itu, saya yakin pimpinan Puspanita mempunyai tadbir urus yang tersusun serta berkemahiran untuk memimpin dan mengurus persatuan dengan baik di pelbagai peringkat dalam tempoh empat dekad ini,” ujarnya. – UTUSAN