Perak sedia pertimbang jual air terawat kepada Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Perak sedia pertimbang jual air terawat kepada Pulau Pinang

SAARANI Mohamad (kiri) mendengar aduan rakyat pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak sedia mempertimbangkan permohonan Pulau Pinang untuk membeli air terawat dari negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini selepas Perak ada menerima surat permohonan untuk membeli air terawat dari kerajaan Pulau Pinang dua bulan lalu.

Menurutnya, sebenarnya sebelum ini Perak melalui Lembaga Air Perak (LAP) memang sudah menjual air terawat ke Nibong Tebal.

“Untuk penjualan air terawat boleh (dibincangkan). Untuk air terawat, kita boleh jual di mana-mana. Mereka memerlukan air terawat, dia (Pulau Pinang) bersedia untuk membeli air terawat dan kita boleh bincang.

“Namun keputusan kita akan jual air terawat kepada negeri itu masih tertakluk kepada keperluan kita sama ada cukup atau tidak. Sama ada kita nak jual, kita masih perlu pastikan kegunaan negeri sendiri mencukupi. Kalau tidak sudah tentu rakyat akan marah kalau saya jual air kepada negeri lain, tiba-tiba kita tak cukup air.

“Maksudnya walaupun air terawat, ia masih tertakluk kepada cukup atau tak cukup untuk kegunaan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Jetutong, RSN Rayer di Dewan Rakyat baru-baru ini supaya kerajaan negeri Pulau Pinang mendapatkan bekalan air dari negeri jiran iaitu Perak.

Rayer berkata, langkah itu perlu kerana Pulau Pinang kini bergantung kepada tiga empangan air yang disalurkan dari Sungai Muda, Kedah.

Mengenai jualan air mentah ke negeri jiran itu, Saarani berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya untuk membuat keputusan memberi air mentah kepada mana-mana negeri sehingga Perak dapat memastikan kegunaan air di negeri sendiri mencukupi.

Menurutnya, walaupun Perak mempunyai banyak sumber air seperti Empangan Temenggor,  Tasik Banding, dan Chenderoh tetapi ia tidak boleh ‘diusik’ kerana ia khusus untuk kegunaan bagi penjanaan tenaga elektrik.

Katanya, jika kurang bekalan air di empangan tersebut, ia akan menjejaskan keupayaan untuk menghasilkan elektrik.

“Apabila Pulau Pinang mencadangkan dia nak ambil air (mentah) dari Perak, kita buat kajian dan kita dapati bahawa air itu tak cukup untuk kegunaan negeri Perak sendiri. Seboleh mungkin kita tak nak usik sebab selain daripada kegunaan untuk empangan-empangan, ia juga untuk kegunaan harian.

“Kita bersimpati dengan orang Pulau Pinang tapi macam analogi yang saya buat ‘kalau naik kapal terbang, kalau jatuh corong oksigen, serkup muka sendiri dulu, apabila sudah selamat muka sendiri baru tolong sangkut muka anak-anak yang lain’.

“Tujuannya untuk keselamatan kita. Kita nak pastikan kegunaan untuk Perak mencukupi terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya