Perak sedia jual pasir, batu kepada Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Perak sedia jual pasir, batu kepada Pulau Pinang

SAARANI Mohamad (tengah) bersama wakil-wakil GLC yang menyumbangkan lembu korban kepada kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak bersedia menjual pasir dan batu kepada negeri Pulau Pinang sekiranya mendapat permintaan bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) selepas Kedah mengumumkan tidak akan menjual bahan mineral itu kepada negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, permintaan bahan mineral itu boleh dipertimbangkan sekiranya ditawarkan dengan harga yang berpatutan kerana ia menjana keuntungan kepada negeri.

“Kita kena lihat keperluannya sebelum menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang. Sekarang ini pun, memang Perak ada menjual pasir.

“Jadi, kita tentu akan menjualnya kalau ada permintaan dengan harga berpatutan dan boleh memberi keuntungan baru kepada negeri Perak. (jadi) Kenapa tidak?,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Akad Penyerahan Lembu Korban Sumbangan kepada Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengisytiharkan tidak akan menjual pasir dan batu kepada negeri Pulau Pinang bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang.

Menurut Sanusi, projek berkenaan hanya dilaksanakan untuk kepentingan orang kaya semata-mata kerana rumah yang dibina bakal dijual pada harga tinggi bagi mendapatkan semula modal menambak pulau tersebut.

Sementara itu, dalam program hari ini, kerajaan Perak menerima 400 ekor lembu korban bernilai RM2.92 juta hasil sumbangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Perak.

Saarani berkata, GLC yang terlibat menyerahkan sumbangan berkenaan ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Dalam program itu, PPPNP menyerahkan 220 ekor lembu korban bernilai RM1.66 juta manakala PKNP dan MB Inc. menyerahkan 40 ekor lembu korban yang bernilai RM280,000 dan SSI dan LAP menyerahkan 50 ekor lembu yang bernilai sebanyak RM350,000.

Menurut Saarani, setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuklah DUN Pembangkang akan menerima lima ekor lembu korban.

“Agihan lembu korban ke masjid, surau dan rumah sembelihan akan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam.

“Bagi kawasan ADUN bukan beragama Islam pula, agihan lembu korban akan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah. Proses serahan secara berakad kepada wakil-wakil peringkat DUN dijangka akan bermula minggu hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya