IPOH: Perak FC sedang mengenal pasti pemain untuk ditandatangani semasa jendela perpindahan bermula 5 Julai ini bagi memperkuatkan pasukan dalam baki kempen Liga Super 2023.
Pengerusi Kelab, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, beberapa calon berada dalam radar pasukan The Bos Gaurus.
“Sudah tentu kami tidak melepaskan peluang memperkuatkan pasukan semasa jendela perpindahan kedua di buka awal Julai nanti.
“Bagaimanapun saya tidak boleh dedahkan identiti pemain terbabit.
“Tiba masanya kami akan memaklumkan kepada umum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perak FC baru-baru ini mengumumkan pengekalan Yusri Che Lah selaku ketua jurulatih sementara tetap hingga akhir musim.
Yusri menggantikan Datuk Lim Teong Kim selaku ketua jurulatih sementara selepas Teong Kim gagal mencapai indeks petunjuk prestasi (KPI) selepas 12 perlawanan.
Keputusan itu diambil oleh pihak pengurusan pasukan setelah membuat pertimbangan yang teliti selepas mengambil kira semua aspek.
Menurut Abdul Azim, pihak pengurusan akan terus membuat penilaian setiap perlawanan dan memantau calon ketua jurulatih berpotensi yang berkongsi falsafah yang sama dengan pihak pengurusan.
“Kami percaya Yusri boleh memberikan yang terbaik dan sehubungan itu berhak mendapat peluang membuktikan kredibiliti sebagai pengendali pasukan,” katanya
Azim berkata, skuad Seladang bertekad untuk memperbaiki permainan agar dapat mencapai impian dan sasaran menamatkan musim ini pada kedudukan enam terbaik. – UTUSAN