IPOH: Perak FC perlukan khidmat pemain import lebih berwibawa jika ingin mencapai hasrat menamatkan saingan dalam kelompok enam teratas Liga Super 2023.
Begitu pandangan pemerhati pasukan The Bos Gaurus mengenai kemampuan pasukan bimbingan Yusri Che Lah itu.
Sekadar khidmat tiga import iaitu Seo Seonung, Sunday Afolabi dan Luciano Guachochea yang banyak beraksi tidak mencukupi untuk membantu Perak setakat ini.
“Khidmat import yang ada sekarang tidak mencukupi.
“Perak FC perlu lengkapkan kouta agar kekuatannya seimbang pasukan-pasukan lain yang berada di atasnya.
“Sekarang pasukan ini hanya turun dengan seorang atau dua import manakala lawan sampai lima orang dalam satu perlawanan.
“Sudahlah begitu, pemain import Perak sekarang kurang berkualiti. Mereka biasa-biasa saja macam pemain tempatan,” kata seorang pemerhati yang enggan namanya disiarkan.
Beliau berkata, dalam keadaan Perak sekarang, jika jurulatih Manchester City, Pep Guardiola dibawa ke Ipoh sekali pun tidak mampu berbuat apa-apa.
“Perak FC kena berbelanjalah jika hendak bentuk pasukan kuat dan berupaya memberi cabaran sengit.
“Tengoklah pasukan-pasukan yang berjaya. Mereka mengeluarkan modal besar untuk dapatkan pemain berkualiti. Jadi Perak FC kena ikut contoh pasukan-pasukan ini,” katanya. – UTUSAN