SERDANG: Polis telah merakam percakapan penunggang motosikal yang melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, pada 14 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, setakat ini polis sudah merakam keterangan enam orang termasuk suspek.
Menurutnya, suspek dikenal pasti setelah tampil membuat laporan polis semalam berhubung dengan kemalangan terbabit di Balai Polis Trafik Kajang.
“Suspek adalah lelaki berusia 41 tahun bekerja sebagai peniaga makanan menetap di Kajang.
“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tetapi tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya.
Jelasnya, selepas kemalangan terbabit, suspek terus pulang ke rumah dan hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen serta hebahan di media sosial.
“Pemeriksaan pada suspek dapati mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat kemalangan terbabit.
“Kita turut merampas motosikal jenis Yamaha bersama dengan beberapa barang kes lain,” jelasnya.
Menurut Mohd. Azam, kedua-dua motosikal terbabit akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.
“Tangkapan tidak dibuat memandangkan keadaan suspek dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak. Prosedur lanjut akan diambil setelah keadaan stabil,” katanya.
Rabu lalu, media melaporkan penunggang ‘superbike’ jenis Ducati maut akibat terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang.
Kemalangan terbabit turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam video berdurasi 12 saat sehingga tular yang memaparkan kemalangan tersebut dipercayai akibat sebuah motosikal melawan arus. – UTUSAN