Penunggang motosikal maut langgar kereta di persimpangan lampu isyarat - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut langgar kereta di persimpangan lampu isyarat

KAMARUL RIZAL JENAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berhampiran Astaka Seagate di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Akid Mat Rozi, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RX disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta jenis Proton Persona, Airil Yusuff Anuar,18, cedera di tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku semasa pemandu kereta tersebut dalam perjalanan dari Queens Waterfront Q1 ke Jalan Tengah.

”Apabila sampai di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu (lampu isyarat Astaka Seagate), semasa lampu isyarat berwarna hijau, pemandu kereta telah membelok ke kanan.

“Secara tiba-tiba datang penunggang motosikal dari arah bertentangan (arah Batu Maung) dan telah melanggar kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca hujan dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas sedang dikesan bagi membantu siasatan.

”Motosikal mangsa yang maut rosak teruk di bahagian hadapan, sisi kiri dan kanan manakala keadaan kereta pula rosak di bahagian sebelah kiri, tayar, rim, cermin depan serta cermin penumpang depan di bahagian kiri,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, tegas beliau, polis memandang berat sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan berkaitan lalulintas.

”Kami juga menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya