Penjurian pemilihan logo Tahun Melawat Perlis dibuat secara profesional - Utusan Malaysia

Penjurian pemilihan logo Tahun Melawat Perlis dibuat secara profesional

Pemilihan logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dilakukan secara profesional oleh juri-juri berpengalaman dalam bidang tersebut.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penjurian pemilihan logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dilakukan secara profesional dan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, juri-juri yang dilantik bagi melakukan pemilihan berkenaan juga tidak mengetahui siapa calon yang menyertai pertandingan itu memandangkan penilaian dibuat hanya berpandukan kepada nombor yang dipamerkan pada reka bentuk berkenaan.

Katanya, penilaian logo itu juga dilakukan oleh juri-juri berpengalaman membabitkan jurugambar profesional dan individu yang berkelayakan dalam bidang seni grafik.

“Pemilihan juri ini bukannya terdiri daripada orang-orang biasa dan keputusan dibuat mereka adalah muktamad tanpa campur tangan daripada mana-mana Exco mahu pun kerajaan negeri sendiri,” katanya.

Logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang dipamerkan menerusi laman Facebook Tourism of Perlis Official sebelum ini mendapat kritikan ramai pihak termasuk Timbalan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad yang menyifatkan reka bentuknya kelihatan agak ‘cincai’ berbanding beberapa penyertaan lain.

Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, kerajaan negeri tidak merancang untuk menukar pemilihan logo berkenaan memandangkan keputusan dibuat oleh setiap juri adalah muktamad.

“Malah promosi bagi penganjuran Tahun Melawat Perlis juga telah mula menggunakan logo berkenaan menerusi penyediaan poster dan papan iklan,” katanya.

Selain itu, Wan Badariah berkata, hebahan berhubung penganjuran pertandingan mencipta logo itu telah dipromosikan melalui laman sosial sebelum ini dan turut mendapat perkongsian ramai pihak.

WAN BADARIAH WAN SAAD

“Cuma penyertaan bagi pertandingan itu mungkin tidak banyak namun kita sememangnya telah giat melakukan promosi sebelum ini sebagai hebahan kepada orang ramai.

“Kita juga telah menubuhkan seketariat dan akan bermesyuarat bersama bagi membincangkan secara lanjut mengenai promosi Tahun Melawat Perlis ini,” katanya.

Tambahnya, syarat bagi penyertaan pertandingan berkenaan adalah terbuka kepada semua termasuk membabitkan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tidak ada penggunaan ‘kabel’ atau sebaliknya kerana syarat pertandingan adalah terbuka kepada semua,” katanya.

Tambah Wan Badariah, kerajaan negeri mensasarkan menerima seramai 3.5 juta pengunjung menerusi penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

“Secara tidak langsung ia juga bakal membantu memberi limpahan manfaat buat peniaga kecil mahu pun pengusaha inap desa di negeri ini.

“Dalam rangka ini, kita juga akan cuba mempromosi Tahun Melawat Perlis di negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia bagi menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya