Penjawat awam Selangor jangan mudah puas hati - PM - Utusan Malaysia

Penjawat awam Selangor jangan mudah puas hati – PM

Penjawat awam
ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penjawat awam di Selangor diingatkan supaya tidak terlalu selesa dan cepat berpuas hati dengan pencapaian negeri ini walaupun saban tahun mencatatkan sumbangan tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Selangor mempunyai prestasi yang baik, namun ia bukan siling kepada pencapaian sebaliknya perlu sentiasa ditingkatkan sebagai sebahagian daripada elemen perubahan dalam perkhidmatan kerajaan negeri.

Menurutnya, penjawat awam menjadi ejen penting dalam membawa perubahan sekaligus mencetuskan keyakinan rakyat terhadap pimpinan berdasarkan mutu perkhidmatan dan tidak mudah berpuas hati.

“Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) bukan selalu berjumpa saya, kerana setiap kali itu saya akan cakap tidak puas hati dan arahkan untuk meningkatkan prestasi pentadbiran. Amirudin menunjukkan kesungguhan, prestasinya baik, sebagai abang saya sentiasa beri teguran.

“Tugas kita sentiasa bawa perubahan menuntut idea dan pendekatan baharu, apa yang disebut sebagai perubahan. Bila disebut tentang pencapaian, masyarakat dan negara yang inginkan perubahan cemerlang, lebih tepat selaras dengan rumusan hadis (Rasulullah SAW) iaitu cemerlang dalam amanah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri Selangor, hari ini.

Beliau menambah, perubahan yang dilakukan perlu mencontohi pembinaan kota Madinah apabila idealisme, kabilah bersatu mengangkat negeri mereka dan perkuatkan tatakelola pentabdiran yang baik perkemas bala tentera serta tingkatkan perdagangan sehingga muncul ketamadunan baharu.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan pada ucapan sama sama turut mengingatkan penjawat awam meningkatkan intergriti dan memastikan amanah ketika membelanjakan peruntukan-peruntukan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan pimpinannya mewarisi beban hutang yang tinggi serta kemerosotan ekonomi dan masalah tersebut perlu diatasi dengan memastikan perbelanjaan tidak mengatasi pendapatan.

“Dalam masa sama mengurangkan defisit. Dalam keadaan belanjawan lebih (defisit), bayar semua hutang, tumpu pendidikan bandar dan luar bandar, kita dalam keadaan hutang RM1.5 trilion.

“Saya kata, nasib saya sudah tertangguh (jadi Perdana Menteri) sekian lama, diberi amanah tetapi ujiannya besar, hutang RM1.5 trilion. Saya pelik seperti mana dijawab mantan Menteri Kewangan, tak cukup duit pinjam sahaja, tetapi tidak bertanggungjawab, yang hendak bayar siapa, anak-anak kita,” tegasnya.

Justeru, beliau menyeru penjawat awam untuk memainkan peranan mengembalikan maruah Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat dan mengangkat martabatnya di rantau ini.

“Jadi, saya dengan harapan betul-betul di Selangor, Selangor ini kubu kita, kubu kerajaan Perpaduan. Untuk apa sokong, kita sokong kerana tahu, prestasinya komitmennya untuk menyelamatkan negeri dan negara kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya