KUANTAN: Golongan peniaga kedai runcit di negeri ini runsing bekalan gula berkurangan sejak beberapa minggu lalu sehingga terpaksa mengehadkan penjualan antara dua ke tiga paket seorang pelanggan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga kedai runcit, Siti Zubariah Omar, 50, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana stok gula diterima daripada pembekal berkurangan sehingga 70 peratus.
Jelasnya, kebiasaannya dia akan meminta pembekal menghantar 50 beg gula dengan setiap satunya mengandungi 12 bungkus gula seberat satu kilogram.
“Biasanya saya minta 50 beg dan pembekal akan hantar 50 beg. Tapi kali ini minta 50 beg hanya dapat 15 beg.
“Saya harap ia cukup untuk menampung permintaan pembeli.
“Tapi saya sebagai peniaga tetap runsing kerana bimbang situasi ini berlarutan dan stok bekalan gula diterima semakin berkurangan,” katanya di sini semalam.
Siti Zubariah berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar masalah gula berkurangan di pasaran dan berharap masalah itu dapat diselesaikan segera oleh pihak berwajib.
“Pembekal memaklumkan mereka juga tidak mempunyai banyak stok gula dan terpaksa membahagi-bahagikan bekalan kepada peniaga-peniaga.
“Kami peniaga juga terpaksa mendapatkan bekalan secara runcit di pasar raya bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahukan gula bersubsidi,” katanya.
Menyentuh tentang penjualan gula premium katanya, sebagai peniaga, menjual gula premium mungkin akan memberi tekanan kepada pembeli.
“Sedangkan harga naik 10 sen atau 20 sen pun pembeli merungut, inikan pula jika jual gula pada harga dua kali ganda daripada harga subsidi,” katanya.
Peniaga kedai makan di Bukit Sekilau di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Li, 55, berkata, penjualan gula premium hanya akan menambahkan beban peniaga kedai makan sepertinya.
Katanya, jika tiada lagi gula dijual pada harga subsidi dan peniaga perlu membeli pada harga premium, kemungkinan dia terpaksa menaikkan harga minuman.
“Sekarang harga gula RM2.85 sen sebungkus. Kalau jual harga premium tanpa harga kawalan kemungkinan akan dijual pada harga RM4.60, lebih sekali ganda dari harga susidi.
“Ia sangat memberi kesan kepada peniaga kedai makan kerana kami tidak dapat jual minuman pada harga kebiasaan,” katanya. – UTUSAN