HULU TERENGGANU: Seorang pengusaha kraf kayu sarung pisau hilang mata pencarian selepas kaki kanan terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis, April lalu.
Sebelum ini, Wan Omar Wan Mansor, 51, dari Kampung Bukit Diman, Ajil tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan terutama menjelang Aidiladha.
Menurut bapa dua anak itu, dia menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan ia semakin serius Ramadan lalu sehingga kaki kanannya terpaksa dipotong dua bulan lalu bagi elakkan kemudaratan.
“Tempoh kira-kira sebulan sebelum Aidiladha adalah waktu sibuk bagi saya kerana tempahan meningkat hingga cecah lebih 250 unit sarung pisau. Masa saya banyak dihabiskan di bengkel untuk siapkan tempahan.
“Kali ini suasana berbeza, saya terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. Pergerakan terbatas setelah kehilangan sebelah kaki, sudah empat kali saya terjatuh.
“Tempahan diterima begitu banyak seperti sebelum ini namun dengan keadaan diri, saya terpaksa menolaknya. Selain sarung pisau, saya juga boleh hasilkan golok, keris dan kapak,” katanya di sini semalam.
Tambah bapa tunggal itu, dia kehilangan pendapatan hingga perlu bergantung ihsan sanak saudara dan dua anaknya yang masih bersekolah.
Jelasnya yang bergelar pengusaha sarung pisau sejak 2006, dia baharu membuat permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 163037205500 milik Wan Omar atau hubunginya di talian 017-971 3627. – UTUSAN