KUALA TERENGGANU: Seorang pengurus stor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas teman wanitanya bulan lalu.
Tertuduh, Pong Yi Ziang, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Yi Ziang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berumur 13 tahun 11 bulan di sebuah bilik hotel di daerah ini, sekitar jam 9 pagi, 21 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 Julai ini, selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN