KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat, Datuk Seri Sim Choo Thiam yang didakwa meminta dan menerima rasuah RM15 juta, mengemukakan surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta agensi itu memberikan butiran terperinci berhubung pertuduhan yang dihadapinya.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini, pasukan pembelaan masih belum menerima maklum balas mengenainya meskipun surat bertarikh 6 Jun lalu sudah diserahkan kepada SPRM.
Timbalan Pendakwa Raya Abd. Muntaqim Abdul Aziz memberitahu, pendakwaan tidak dimaklumkan mengenai surat berkenaan.
Sehubungan itu, Hakim Rozina Ayob mengarahkan pihak pendakwaan mendapatkan perkembangan terkini mengenai surat terlibat dan menetapkan 28 Jun ini bagi pengurusan kes.
Pada 10 Mei lalu, Choo Thiam, 54, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap keempat-empat tuduhan.
Bagi tuduhan pertama, Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn. Bhd., Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.
Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN.
Dia juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan iaitu menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di dua lokasi di pejabat Shaas Holdings dan kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.
Kesemua tuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN