Penduduk lega Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dibuka semula

Penduduk lega Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dibuka semula

PENGGUNA jalan melalui laluan baharu dari Taman Wangi menuju ke Simpang Hospital Gua Musang, hari ini.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 5,000 penduduk menarik nafas lega apabila laluan di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dekat sini yang ditutup untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C lebih dua bulan lalu dibuka semula untuk laluan kenderaan sejak petang kelmarin.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan dari Taman Wangi hingga ke Simpang Hospital Gua Musang yang dibuka itu telah diturap dengan sempurna bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

Seorang penduduk Taman Wangi, Siti Maisarah Ahmad, 36, berkata, dia lega apabila laluan berkenaan telah dibuka semula oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, sejak bulan April lalu, dia terpaksa menggunakan laluan alternatif yang agak jauh bagi memberi laluan kepada pemasangan cerucuk projek LTU

“Penutupan laluan berkenaan mengubah jadual harian kami apabila ada ibu bapa yang keluar seawal pukul 6.30 untuk menghantar anak ke sekolah kerana bimbang tersekat dalam kesesakan. Hari ini saya keluar lambat kira-kira pukul 7.15 pagi untuk hantar anak ke sekolah dan tiba lebih awal berbanding sebelumnya.

“Sebelum ini rutin saya berubah apabila terpaksa bersiap awal pagi untuk menghantar anak ke sekolah. Kami terpaksa keluar rumah lebih awal, namun tetap tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dan anak-anak tiba lambat di sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Lutfi Razali, 39, pula berkata, dia terkejut apabila melihat laluan jalan itu sudah boleh dilalui petang semalam.

Katanya, sebelum ini mereka terpaksa melalui jalan alternatif di bulatan Gua Musang sehingga ke Simpang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang jika untuk ke bandar Gua Musang.

“Ketika ini laluan ini dibuka secara sehala apabila kenderaan dari arah Kuala Lumpur boleh melalui jalan itu.

“Namun, semalam saya melihat pengguna jalan dari Bandar Baru cuba melalui jalan itu menyebabkan berlaku kesesakan sehingga polis trafik menjaga laluan berkenaan,” ujaranya.

Ahmad Lutfi berkata, dia menjangka laluan jalan menuju ke Bandar Gua Musang akan lebih lancar menjelang Hari Raya Aidiladha apabila kenderaan perantau dapat melalui jalan baharu itu.

Media semalam melaporkan, Jalan Kuala Lipis-Gua Musang yang sebelum ini ditutup untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di sini dibuka semula.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Mohd. Suhaili Ismail berkata, pembukaan secara kekal itu melibatkan laluan asal yang sebelum itu ditutup untuk kerja-kerja tersebut. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya