Pendaratan ikan di Terengganu dijangka meningkat tahun ini - Utusan Malaysia

Pendaratan ikan di Terengganu dijangka meningkat tahun ini

SEBAHAGIAN daripada ikan yang didaratkan nelayan di Pantai Telaga Papan, Setiu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pendaratan ikan di negeri ini diyakini mampu mencapai sasaran 50,723.37 tan metrik pada tahun ini berikutan pelbagai inisiatif penambahbaikan dilakukan kerajaan negeri bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Jumlah itu meningkat hampir 40 peratus berbanding 33,500.25 tan metrik ikan yang didaratkan sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pihaknya yakin mencapai sasaran itu berikutan beberapa langkah dan strategi dilaksanakan selama ini.

Menurutnya, sebagai contoh, sebanyak 26 program melabuhkan tukun dilakukan sepanjang tahun lalu yang terbukti meningkatkan tangkapan ikan dalam kalangan nelayan sepanjang tempoh itu.

Katanya, pada tahun ini, pihaknya merancang melak­sanakan 48 program iaitu hampir sekali ganda berban­ding tahun lalu.

“Inisiatif ini berjaya me­ningkatkan populasi sumber makanan ikan di laut malah hasil kajian Institut Sumber Marin Asia Tenggara dan Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara menunjukkan lokasi tukun dilabuhkan itu memberi impak positif kepada biodiversiti ikan.

“Ia berjaya mengurangkan aktiviti pencerobohan nelayan pukat tunda di kawasan zon tangkapan nelayan tradisio­nal,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, ketika ini terdapat 8,531 nelayan serta 2,707 bot dan vesel di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu kata­nya, 5,458 nelayan adalah nelayan tradisional yang menggunakan sampan dan enjin dalam yang beroperasi di laut pantai Zon A manakala 1,103 adalah nelayan Zon B; 1, 270 nelayan Zon C dan 700 nelayan laut dalam (Zon C2).

Ditanya mengenai trend kebanyakan nelayan dilihat lebih selesa mendaratkan ikan di negeri lain, Azman berkata, ia disebabkan kemudahan disediakan di pelabuhan-pelabuhan tersebut lebih sistematik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya