Penceramah jemputan di masjid perlu memilki tauliah Maidam - Utusan Malaysia

Penceramah jemputan di masjid perlu memilki tauliah Maidam

SULTAN Mizan Zainal Abidin (tengah) bersalaman dengan sebahagian jemaah selepas menunaikan sembahyang Jumaat pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Pelandan, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah mengingatkan jawatankuasa masjid di negeri ini supaya memastikan penceramah yang diundang mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam). 

Baginda bertitah, peraturan yang ditetapkan itu  bukan untuk menyekat penyebaran ilmu di masjid dan surau tetapi bertujuan memastikan setiap ilmu yang disampaikan bertepatan dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam. 

“Beta mengharapkan setiap program yang dilaksanakan harus selari dengan setiap arahan serta peraturan dikeluarkan Maidam  dan undang-undang yang berkaitan dengan tauliah mengajar. 

“Masjid memainkan peranan sangat penting dalam membangunkan umat Islam dan menegakkan tamadun ummah serta pangkalan pembangunan insan yang berpaksikan akidah,” titah baginda. 

Sultan Mizan bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Pelandan dekat sini hari ini sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu Yang Ke-61, hari ini. 

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 12.40 tengah hari diiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan seorang lagi putera baginda, Tengku Muhammad Mu’az.

Turut mengiringi Sultan Mizan ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Baginda turut bertitah agar  pengurusan  masjid perlu mempunyai minda terbuka dan berfikiran kreatif bagi merangka serta melaksanakan pelbagai program yang boleh melahirkan ummah yang cemerlang. 

Titah baginda, kebolehan dan kepakaran para jemaah boleh digembeling bersama-sama jawatankuasa masjid untuk dimanfaatkan oleh anak kariah serta masyarakat setempat agar usaha ke arah mengoptimumkan fungsi masjid berjaya direalisasikan. 

Pembinaan Masjid Kampung Pelandan yang berharga RM5.5 juta itu bermula pada tahun 2016  dan siap  Mei 2019. 

Masjid tersebut boleh menampung kira-kira 750 jemaah pada satu-satu masa.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya