Pencapaian SK Kanchong Darat wajar dicontohi - Utusan Malaysia

Pencapaian SK Kanchong Darat wajar dicontohi

SK Kanchong Darat
FADHLINA Sidek bergambar bersama plak penghargaan sempena Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat dipilih sebagai "Top 10 World's Best School Prizes" pada Karnival Perpaduan Madani 2023 di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tiada pihak yang terpinggir di negara atau ketinggalan dalam pendidikan termasuk keupayaan untuk menerpa nama di peringkat negara dan antarabangsa.

Justeru, Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat di daerah ini menjadi contoh sebagai sekolah luar bandar yang berjaya menduduki dalam kelompok 10 untuk memenangi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kejayaan sekolah itu yang mencipta inovasi bertema ‘Program Minda Sihat, Warga Hebat’ berasaskan permainan lompat tali sewajarnya menjadi contoh kepada sekolah lain di negara ini.

“Kita perlu meraikan terutamanya pihak sekolah, anak-anak murid dan semua pendukung-pendukung, Yayasan Hasanah dan rakan-rakan strategik lain yang memberikan tumpuan penuh untuk pembangunan keseluruhan potensi dan juga peluang serta akses untuk murid ini.

“Impak daripada program itu termasuk kehadiran kanak-kanak ke sekolah, perkembangan sahsiah mereka, akademik mereka dan pastinya juga aktiviti menjurus kepada gaya hidup sihat, yang saya harap dapat dikembangkan di sekolah lain juga.

“Sementara kepakaran SK Kanchong Darat dan Yayasan Hasanah ini dapat kita pinjamkan ke Nibong Tebal misalnya dan tempat-tempat lain, InsyaAllah.” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Perpaduan Madani dan Pengumuman SK Kanchong Darat Sebagai 10 Sekolah Terbaik Dunia 2023, hari ini.

Terdahulu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Bayan Baru, Pulau Pinang, dan SK Kanchong Darat dilaporkan tersenarai dalam kedudukan sepuluh teratas anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023.

Kedua-dua sekolah ini berpeluang memenangi sebahagian daripada hadiah keseluruhan AS$250,000 (RM1.16 juta), untuk dikongsi sama rata bersama lima pemenang, dengan masing-masing menerima AS$50,000 (RM231,300).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN