GUA MUSANG: Penantian kira-kira 2,000 Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Hendrop dan Pos Tuel di sini untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam sejak lebih 60 tahun lalu akhirnya tercapai apabila rumah mereka sudah menerima kemudahan itu.
Penghulu Kampung Hanir, Pos Tuel, Razak Rongging berkata, penduduk kampung gembira kerana selepas menunggu sekian lama, akhirnya mereka dapat menikmati kemudahan elektrik yang dilaksanakan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, sebelum ini penduduk terpaksa bergantung dengan lilin, pelita dan enjin generator bagi menerangi kediaman terutamanya pada waktu malam.
“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membantu menyalurkan kemudahan elektrik bermula sejak bulan lalu.
“Sejak dulu lagi kami idamkan bekalan elektrik. Jadi sekarang kita masyarakat Orang Asli di sini bersyukur kerana zaman ini kemudahan elektrik memang diperlukan,” katanya.
Zaiton Anjang, 37, pula berkata, dia teruja apabila akhirnya boleh menggunakan peralatan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan kipas seperti penduduk di bandar.
Katanya, keluarganya kini sedang mengumpul wang bagi membeli peralatan elektrik.
“Sebelum ini kami terpaksa guna generator hingga menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi kos pembelian minyak dan membaiki kerosakan.
“Kami berharap pihak TNB dapat membantu memberi penjelasan tentang penggunaan tenaga elektrik kerana kebanyakan penduduk merupakan pengguna baharu serta kami bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini termasuklah litar pintas,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutamanya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di atas penyambungan bekalan elektrik untuk 450 keluarga di kawasan itu.
“Penduduk dari pelbagai kampung seperti Kampung Sungai Ber, Kampung Plug, Kampung Kerbok, Kampung Hendrop dan Kampung Tuel telah mendapat manfaat yang ditunggu sekian lama.
“Rata-rata berterima kasih kepada pihak kerajaan di atas usaha untuk memastikan semua kampung diberi kemudahan asas ini. Seterusnya kita akan menambah baik fasiliti sedia ada seperti jalan, dewan, masjid dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN