Pemuda UMNO Kangar cadang wujudkan semula PLKN - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Kangar cadang wujudkan semula PLKN

SAIFUL FARIDDIL JASMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda UMNO Bahagian Kangar mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) khusus buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata, cadangan tersebut wajar dipertimbangkan memandangkan remaja masa kini seolah-olah tiada hala tuju dan hilang jati diri.

Katanya, pelbagai manfaat dapat diperolehi oleh golongan lepasan SPM yang mengikuti PLKN dengan mengikuti semua modul disediakan meliputi pelbagai aspek.

“Jika dilihat kebanyakan pelajar lepasan SPM khususnya tiada hala tuju malah ada diantara mereka langsung tidak mengenali bekas pemimpin dan pejuang negara ini.

“Jadi sekiranya PLKN dapat dihidupkan semula, remaja-remaja ini bukan sahaja dapat berkhidmat untuk negara malah turut memberi kefahaman kepada mereka mengenai sejarah negara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kerajaan pada 2018 memutuskan untuk memansuhkan PLKN dan Biro Tatanegara (BTN) serta-merta dan mendakwa ia disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.

Keputusan dalam mesyuarat Kabinet ketika itu turut menetapkan supaya satu modul dirangka bagi menggantikan kedua program berkenaan.

Dalam pada itu, Saiful yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri berkata, PLKN juga dapat membentuk jati diri remaja dan memastikan mereka lebih berdisiplin sebagai mana dilakukan di negara luar seperti Korea Selatan dan Thailand.

“Kalau tak boleh laksanakan untuk tempoh setahun, mungkin kerajaan boleh buat untuk tempoh singkat dalam masa tiga bulan dan itu sudah cukup memadai bagi membentuk remaja-remaja ini,” katanya.

Kata Saiful lagi, kerajaan juga boleh menyediakan modul-modul baharu yang bersesuaian kepada pelatih terlibat bersesuaian dengan situasi zaman sekarang.

Tambahnya, sekiranya kos bagi mewujudkan semula PLKN itu agak tinggi, kerajaan boleh mengurangkan bilangan kem untuk tujuan itu.

“Mungkin bilangan kem terbabit boleh dikurangkan namun kapasiti pelatih perlu dibesarkan agar lebih ramai pihak dapat turut sama mengikuti PLKN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya