Pemuda berdepan hukuman mati bunuh kekasih hamil - Utusan Malaysia

Pemuda berdepan hukuman mati bunuh kekasih hamil

Bunuh kekasih hamil
TERTUDUH tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.55 pagi tadi bagi berdepan pertuduhan bunuh kekasih, di Mahkamah Majistret Sungai Besar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seorang pemuda berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, atas pertuduhan membunuh teman wanitanya yang hamil, minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan, namun tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, yang memakai baju T kuning itu mengangguk faham atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun yang dipercayai dilakukan dekat Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Selangor, Ku Hayati Ku Haron memohon tempoh bagi penyediaan dokumen pendakwaan berkaitan lain sementara peguam-peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.

Siti Hajar kemudian menetapkan sebutan semula pengurusan kes pada 3 Ogos depan.

Terdahulu, tertuduh yang berpelitup muka itu tiba di mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis, kira-kira pukul 8.55 pagi.

Utusan Malaysia sebelum ini  melaporkan seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek sebanyak dua kali bermula Isnin minggu lalu selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa.

Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai turut sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa.

Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat mangsa, kira-kira pukul 8.15 pagi Selasa minggu lalu.

Siasatan mendapati wanita yang hamil empat bulan itu dibawa suspek menaiki sebuah kereta sebelum dibunuh dan dibakar di kebun tersebut, kira-kira pukul 10 malam.

Keluarga mangsa menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan kes itu.

Mereka turut berharap si pelaku mendapat balasan setimpal mengikut undang-undang dan jenazah anak kelima daripada enam beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan Sungai Besar, Jumaat lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya