KUALA TERENGGANU : Pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN) terutama Pas diingatkan agar tidak berada dalam zon selesa dengan tsunami gelombang hijau yang berlaku ketika ini kerana pola pengundian di negara ini sangat dinamik dan boleh berubah-ubah.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Pas telah mencatat kemenangan yang sangat besar pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang lalu, jentera parti mesti terus bekerja kuat untuk kemenangan semua calon.
“Saya selalu tekankan kepada semua jentera, ahli serta penyokong Pas di Terengganu agar tidak berada dalam zon selesa walaupun keputusan pada majoriti besar.
“Kita perlu sentiasa kerja keras dengan semaksima mungkin kerana pola pengundian ini sangat dinamik. Kita belum memenangi hingga sampai garisan penamat (pada hari keputusan Pilihan Raya Negeri) kelak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Pada PRU-14 lalu, Pas berjaya menyapu bersih kesemua lapan kerusi parlimen di Terengganu dengan majoriti yang sangat besar dan banyak pihak meramalkan Pas akan memenangi PRN kali ini dengan lebih mudah.
Selain Terengganu, lima negeri lain yang akan mengadakan PRN ialah Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata sikap pengundi baharu pada masa ini juga sudah tidak sama seperti pada zaman dahulu yang mana pengundi cenderung setia kepada hanya satu parti sahaja.
“Jumlah pengundi sentiasa bertambah secara signifikan dengan pengundi kali pertama dan yang berdaftar secara automatik… mereka ini memainkan peranan yang besar (dalam menentukan kemenangan).
“Kelompok pengundi ini mahu melihat satu muafakat politik yang jelas, yang stabil dan mampu bawa agenda perubahan untuk mereka.
“Saya percaya rakyat sedang lihat dan teliti yang mana akan menjadi pilihan. Kita menawarkan muafakat politik yang stabil berbanding banyak muafakat di luar sana yang mungkin ada kelemahan-kelemahan dan pertikaian yang masih belum diselesaikan.
“Paling penting, kita akan terus kerja kuat untuk menghadapi PRN ini dan tidak sesekali berada dalam zon selesa,” katanya. – UTUSAN