MARANG: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu selepas 26 Jun ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan proses berkenaan berlaku antara 27 hingga 28 Jun memandangkan tarikh tersebut merupakan masa paling sesuai.
“Bergantung kepada beliau (Ahmad Samsuri) tetapi saya percaya pembubaran DUN diumumkan selepas Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin di Istana Syarqiyyah sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan Terengganu pada 26 Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok Kediaman (RTB) DUN Alur Limbat di Bukit Payung, di sini, hari ini.
Setakat ini, hanya Terengganu belum mengumumkan tarikh rasmi pembubaran DUN bagi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Bagaimanapun, DUN Terengganu akan terbubar dengan sendirinya pada 30 Jun ini.
Sementara itu, tarikh pembubaran DUN di lima negeri lain ditetapkan lebih awal iaitu Kelantan pada 22 Jun, Selangor (23 Jun), Pulau Pinang (28 Jun), Kedah (28 Jun) dan Negeri Sembilan (30 Jun).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Pas memenangi 22 DUN manakala Barisan Nasional (BN) pula 10 DUN.
Dalam pada itu, Ariffin memberitahu, agihan kerusi untuk ditandingi pada PRN melibatkan rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) di Terengganu telah selesai selepas mencapai kesepakatan hasil perbincangan sebelum ini.
“Kita (PN Terengganu) mengambil timbang semua perkara sebelum keputusan agihan ini dicapai,” ujarnya. – UTUSAN