Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu - Utusan Malaysia

Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu

KEADAAN kemalangan di Kilometer (KM) 11.6, JSAHMS, Batu Kawan, Pulau Pinang awal pagi tadi yang menyebabkan seorang polis bantuan JKSB maut. - Pic: SUMBER MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BATU KAWAN: Letih dan mengantuk ketika memandu dipercayai menjadi punca seorang pemandu lori hilang kawalan hingga menyebabkan seorang anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut dalam nahas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, suspek berusia 26 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu juga tidak memiliki lesen memandu, namun bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol hasil saringan air kencing terhadapnya.

LEE CHONG CHERN

Terdahulu, kata Chong Chern, seorang pemandu kereta Perodua Viva memberhentikan keretanya di lorong kecemasan di Kilometer (KM) 11.6 jambatan berkenaan kerana mengalami kerosakan dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu.

Beliau berkata, mangsa, Musyiri Bakar, 49, tiba tidak lama kemudian bersama kenderaan Toyota Hilux yang diletakkan di belakang Perodua Viva itu untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Bagaimanapun, ketika mangsa sedang berjalan ke arah kereta Perodua Viva itu, datang sebuah lori dari arah belakang dan melanggar Toyota Hilux tersebut sebelum ia menggelonsor dan mengenai mangsa yang sedang berdiri di antara kenderaannya dan pembahagi jalan.

“Akibatnya, mangsa tersepit sebelum terpelanting ke lorong motosikal dan dilanggar pula oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu,” katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, mangsa bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan pelbagai kecederaan yang konsisten akibat pelanggaran kenderaan motor.

“Sementara itu, penunggang motosikal yang melanggar mangsa pula kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang manakala pemandu Perodua Viva yang juga seorang wanita berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tambah beliau, keempat-empat kenderaan yang terlibat termasuk kereta Perodua Viva serta motosikal yang melanggar mangsa turut mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya