IPOH: Pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada bekas ahli UMNO yang dipecat untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 adalah terpulang kepada pendirian dan penerimaan masing-masing.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ada orang yang merasakan jemputan itu sebagai satu penghormatan dan ada juga yang merasakan ia sebagai satu hinaan.
“Itu terpulanglah kepada pendirian dan penerimaan masing-masing. Ada orang merasakan jemputan itu sebagai satu penghormatan dan ada juga yang merasakan jemputan itu sebagai satu hinaan.
“Ia bergantung kepada tafsiran masing-masing,” katanya kepada pemberita kepada pemberita pada Majlis Akad Penyerahan Lembu Korban Sumbangan kepada Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Saarani yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sebelum ini beliau pernah tidak tersenarai sebagai perwakilan parti, namun atas rasa mencintai parti beliau tetap menghadiri perhimpunan itu.
“Melalui pengalaman saya, saya pernah menjadi perwakilan yang dipilih tetapi sewaktu tak dipilih pun saya sampai juga. Ribuan orang yang hadir ini bukanlah perwakilan tetapi hadir kerana cintakan parti itu.
“Ada ‘mak long-mak long, mak cik-mak cik’ tinggalkan bendang dan datang duduk bersila di PAU. Mereka tetap hadir walaupun tidak dijemput,” katanya.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan pelawaan kepada bekas ahli UMNO untuk menghadiri ke PAU 2023 sebagai sindiran.
Bekas Naib Presiden UMNO itu menyifatkan pelawaan yang dibuat secara menyindir dan berseloroh kepada bekas ahli untuk menghadiri perhimpunan itu menggambarkan mentaliti dan pemikiran kepimpinan UMNO sekarang.
Katanya, tindakan tersebut tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk menghadiri PAU walaupun bukan sebagai perwakilan.
Katanya, bekas ahli parti Melayu itu mungkin boleh menjadi pemerhati di luar dewan ketika perhimpunan tersebut berlangsung.
PAU 2023 yang bermula hari ini sehingga hingga 10 Jun berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – UTUSAN