Pelajar tahfiz hilang ditemukan dalam keadaan lemah - Utusan Malaysia

Pelajar tahfiz hilang ditemukan dalam keadaan lemah

PELAJAR tahfiz yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, dijumpai dalam keadaan lemah di kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai dekat Gerik. UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Gerik di sini sejak Rabu lalu, ditemukan selepas lebih 70 jam dalam keadaan lemah.

Muhammad Naufal Adzimi Mohd. Harris, 17, dijumpai pada pukul 10.48 pagi tadi oleh Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikalnya dijumpai.

Katanya, faktor kemungkinan mangsa bergerak ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menyebabkan dia tidak dijumpai sebelum ini.

“Pasukan SAR pada pagi ini dipecahkan kepada lapan kumpulan dan operasi pencarian dimulakan dengan membuat laungan azan.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat namun lemah pada jarak lebih kurang dua kilometer dari lokasi kenderaannya ditemui.

“Lokasi berkenaan sebelum ini telah pun dibuat pencarian namun mungkin situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak ditemui pasukan penyelamat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, seramai 94 anggota pelbagai agensi antaranya bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), PGA, Sapura dan orang awam menyertai SAR tersebut.

“Liputan komunikasi agak terhad di kawasan pencarian. Usaha membawa keluar mangsa sedang dijalankan menggunakan kenderaan,” katanya.

Media pada Khamis lalu melaporkan, seorang remaja lelaki dilaporkan hilang di kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai di sini.

Muhammad Naufal Adzimi kali terakhir dilihat bapanya ketika dia keluar rumah untuk menunaikan solat subuh pada Rabu.

Mangsa yang dikatakan mengalami gangguan emosi itu bagaimanapun tidak pulang ke rumah sehingga petang sebelum pencarian digerakkan keluarga dan rakan.

Usaha mencari remaja terbabit kemudian menemukan motosikal jenis Yamaha Y15Z yang ditinggalkan mangsa dalam kawasan kebun getah sekitar pukul 6 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN