Pelaburan pusat data faktor Johor atasi Selangor - Utusan Malaysia

Pelaburan pusat data faktor Johor atasi Selangor

Pusat data
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Selangor dekat Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kemasukan pelaburan di Selangor bernilai RM60 bilion pada tahun lalu lebih rendah berbanding Johor (RM70 bilion) disumbang oleh pemindahan operasi syarikat-syarikat pusat data ke negeri itu dari Singapura.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor kini turut menerima kemasukan pelaburan sektor baharu itu menerusi pembangunan pusat data NextDC dari Australia yang bernilai RM3 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, pusat tersebut menguruskan maklumat pada tahap ‘Tier 4’ iaitu antara yang tertinggi dan pertama di Asia Tenggara.

“Pusat data adalah tempat penyimpanan data-data sama ada telco, aplikasi, laman web dan sebagainya. Kita lihat di Singapura berlaku peralihan besar pada tahun lepas antara yang menjadi penyebab Johor mendapat pelaburan lebih daripada RM70 bilion, Selangor tahun lepas RM60 bilion.

“Kerana, banyak fasiliti itu dibina di sana kerana mereka (syarikat) berpindah keluar dari Singapura dan memilih Johor sebagai lokasinya. Tetapi menariknya, NextDC akan beroperasi di Lembah Klang, menjadi pusat data untuk Asia Pasifik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Selangor, malam tadi.

Beliau menambah, kertas kerja pelaburan pusat data tersebut akan diterima oleh kerajaan negeri dalam tempoh satu atau dua bulan dan pembinaannya dijangka mengambil masa selama 18 bulan.

“Dalam tempoh lima tahun, jumlah yang akan dilaburkan oleh mereka adalah lebih RM3 bilion, tetapi dalam perbualan semalam mereka kata nilai kepada keseluruhan ekosistem data dan pusatnya yang akan dibangunkan di Petaling Jaya.

“Jadi, pasti kita memerlukan banyak tenaga dan juga kepakaran dari segi kejuruteraan dan teknikal untuk menguruskannya dan saya yakin ia merupakan pelaburan yang baharu dan bukan asing sebab di Bukit Raja sebagai contoh, kita membantu Shopee untuk membuka pusat data mereka yang sedang diuruskan pembinaannya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya