HULU TERENGGANU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan tiga jentera berat pada hari ketiga operasi hari ini dalam pencarian seorang remaja dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Dusun, di sini, petang Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmerra Hassan berkata, operasi SAR tersebut diteruskan selepas mangsa, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, masih gagal ditemukan selepas kejadian tersebut.
Menurutnya, jentera berat tersebut diguna untuk melakukan kerja-kerja mengalihkan tunggul kayu besar dalam sungai untuk mencari mangsa selepas menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Operasi hari ini tertumpu untuk alihkan tunggul kayu dan rimbunan buluh yang berada dalam kawasan berlubuk berkedalaman kira-kira lima meter.
“Kita menggunakan tali yang diikat pada jentera berat untuk menarik bagi alihkan tunggul kayu berkenaan kerana kemungkinan besar mangsa tersangkut di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Dusun, di sini, hari ini.
Tambah beliau, keseluruhan seramai 77 anggota SAR membabitkan pelbagai jabatan dan agensi termasuk penduduk kampung menyertai operasi tersebut.
Pada Jumaat lalu, seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas setelah dibawa arus deras ketika mandi-manda di Sungai Terengganu dekat Kampung Dusun,.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Jumaat lalu, Muhammad Adam Shazwan dipercayai tiba-tiba hanyut ketika sedang berenang bersama seorang rakannya, Putra Azim Fahmi Azmi,16, di sungai tersebut. – UTUSAN