PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 35 orang pendatang asing tanpa I=izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan ‘Op Sapu’ yang diadakan di Pasar Borong Selangor, di Seri Kembangan, Selangor, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kumpulan PATI berumur antara 21 hingga 52 tahun itu ditahan dengan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk bekerja tanpa pas serta pengenalan diri sah.
Katanya, dalam operasi tersebut, seramai 95 orang warga asing diperiksa dan mereka ditahan terdiri daripada 17 lelaki warganegara Myanmar, 13 lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara India, dua lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Yemen.
“Kesemua mereka dipercayai bekerja di pasar borong tersebut sebagai pekerja am,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil setelah menerima aduan awam berhubung PATI yang bekerja di pasar borong tersebut tanpa pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu, kami juga memeriksa 42 lelaki dan tiga perempuan warganegara Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR),” jelasnya.
Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, pasukan operasi turut berdepan dengan PATI yang cuba melarikan diri daripada kepungan Jabatan Imigresen.
Ditambah dengan cuaca hujan pada pagi tersebut dan keadaan gelap, katanya, ia menyebabkan ada PATI berjaya meloloskan diri.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN