KUALA LUMPUR: Nilai Pembangunan Kasar (GDV) 22 projek yang masih dalam pembangunan program Perbadanan PR1MA Malaysia sekitar RM3 billion.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan menyasarkan untuk menyelesai dan menyiapkan projek-projek terbengkalai PR1MA tahun depan.
“Memang masih ada beberapa projek yang belum selesai dan kita berdepan untuk mengambil tindakan terhadap kontraktor tersebut manakala kerugian itu, dalam Parlimen sendiri kita pernah bawa isu ini kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC). Jadi salah satu teguran yang berlaku adalah untuk kita tambah baik.
“Nilai Pembangunan Kasar (GDV) pula, saya akan kongsikan dengan teliti dan tidak silap saya adalah sekitar RM3 billion, untuk keseluruhan projek bawah PR1MA. Bagi rakyat di luar sana, memang kita tengah selesaikan projek sakit ini di hujung 2024,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Onn Abu Bakar [Batu Pahat – PH] meminta kementerian tersebut menjelaskan tindakan yang dikenakan terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek PR1MA dalam masa yang ditetapkan serta jumlah kerugian ditanggung kerajaan.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah menasihatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan penjualan rumah PR1MA dari pihak ketiga yang mendakwa mereka menjadi ejen penjualan perumahan rakyat itu.
“Mengenai penyamaran yang berlaku, ia adalah satu perbuatan jenayah yang berlaku ramai juga yang cuba mengelirukan melalui iklan iklan di Facebook. Perkara ini perlu dikemukakan kepada polis.
“Peringatan kepada para pembeli untuk semak terus di laman web PR1MA, jangan percaya third party link atau boleh pergi terus melawat rumah contoh PR1MA untuk elak kejadian penipuan berlaku,” katanya. – UTUSAN