GEORGE TOWN: Paras Empangan Air Itam di sini mula menunjukkan peningkatan susulan berlaku hujan di kawasan empangan berkenaan baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, setakat semalam, paras Empangan Air Itam adalah pada tahap 48.6 peratus berbanding 47 peratus minggu lalu.
”Semalam, kita laksanakan operasi pembenihan awan dan boleh dikatakan operasi berkenaan berjaya mencetuskan hujan serta membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam iaitu kenaikan sekitar satu peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada Mei lalu, media melaporkan simpanan air Empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk 40 hari, manakala Empangan Teluk Bahang (146 hari) susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.
Setakat 8 Mei lalu, Empangan Air Itam merekodkan paras 41.5 peratus manakala empangan Teluk Bahang pada paras 48.1 peratus.
Susulan penurunan paras Empangan Air Itam dan Teluk Bahang itu, kerajaan negeri memohon bantuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan bagi membantu mencetuskan hujan di kawasan tadahan air tersebut.
Menurut Zairil, paras air di Empangan Teluk Bahang kekal iaitu 44.2 peratus setakat semalam seperti paras minggu lalu.
”Kemungkinan kerajaan negeri akan memohon untuk melaksanakan pembenihan awan lagi, ia bergantung kepada keadaan cuaca terkini, jika sudah masuk musim hujan mungkin kita tidak lagi perlu operasi pembenihan awan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zairil memaklumkan, pemasangan Smart Meter di Pulau Pinang akan bermula 15 Jun ini di sekitar kawasan Pulau Tikus, Tanjung Tokong seterusnya ke kawasan-kawasan lain secara berfasa.
“Pemasangan dan pengantian meter tersebut akan dilakukan oleh pihak juruteknik dan vendor TNB di mana
setiap unit yang terlibat dijangka mengalami gangguan bekalan elektrik semasa pemasangan dijalankan.
“Anggaran gangguan antara 30 minit hingga satu jam bagi setiap unit dan setiap unit akan menerima notis pemasangan ‘smart meter’ dan borang B (gangguan bekalan elektrik) sebelum pemasangan dijalankan,” katanya. – UTUSAN