CIK Bunga hairan juga dengan netizen kita ini. Tak sangka juga ada segelintir pihak yang bersikap skeptikal bila dengar artis-artis lama nak buat comeback.
Tak kisahlah jika mereka berhasrat mahu buat lagu baharu atau buat konsert sekali pun. Itu yang berlaku kepada kumpulan Damasutra yang popular dengan lagu Sufi dan Asyik.
Bagi Cik Bunga, kumpulan ini meskipun sudah lama tak keluar lagu baru, tetapi penangan mereka sebagai sebuah kumpulan rock legenda masih berbisa.
Cik Bunga dengar, hasrat Damasutra nak buat konsert pada Oktober ini dipertikai. Katanya, kumpulan sendu macam Damasutra pun nak buat? Adui…pedasnya ayat macam itu. Tak baik kata
mereka sendu.
Mungkin yang kata kumpulan ini begitu tergolong dalam kategori BBNU. Iyalah, tak mungkin otai-otai lama pula yang kata begitu bukan?
Bagi Cik Bunga, sepatutnya sebagai peminat muzik tempatan, kita kenalah sokong inisiatif artis kita sebab ia secara tidak langsung turut menyaksikan perkembangan industri seni yang sihat.
Ini tidak, asyik hendak menghentam saja. Buat konsert salah, tak buat konsert pun salah. Pendek kata, ada benda saja yang tidak kena di mata orang yang berfikiran negatif.
Sendu atau tidak, Damasutra pun ada kekuatan mereka sendiri sebagai sebuah kumpulan rock disegani. Siapa yang mengata dan mengutuk itu kenalah datang saksikan sendiri persembahan konsert mereka itu nanti.