Pameran figura eksklusif Transformers tarik minat orang ramai - Utusan Malaysia

Pameran figura eksklusif Transformers tarik minat orang ramai

PENGUMPUL figura Transformers, (dari kiri) Ahmad Fazlizan, Muhammad Anis Fakhri, Muhammad Zahin Fakhri dan Ahmad Fuaad Mokhtar bersama koleksi peribadi eksklusif Transformers mereka ketika ditemui di Transformers Collectors Exhibition 2023 di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BUTTERWORTH: Sekumpulan anak muda dari Seberang Perai, di sini mengambil inisiatif menganjurkan pameran figura eksklusif Transformers bagi tatapan orang ramai sempena tayangan filem Transformers: Rise of the Beasts yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh dunia.

Penganjur Transformers Collectors Exhibition 2023 yang juga pengumpul figura tersebut, Muhammad Anis Fakhri Mohd. Nesfu, 39, berkata, dia bersama tiga lagi pengumpul ingin berkongsi minat dan hobi mereka bersama orang ramai selain ingin memeriahkan lagi ‘demam’ Transformers bersama peminat filem francais kali ketujuh tersebut.

Ujarnjya, pameran itu berlangsung selama dua hari sejak semalam hingga hari ini bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam di pusat membeli-belah Sunway Carnival, di sini.

“Kita bawakan kira-kira 100 unit koleksi peribadi terdiri daripada pelbagai siri dan versi Transformers Generasi Pertama (G1) sehingga (G1) terbaharu.

“Selain itu, kami juga ingin memberi peluang kepada orang ramai melihat secara lebih dekat akan figura eksklusif yang kini berada dalam kategori sukar untuk ditemui dalam mana-mana pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada pameran tersebut semalam.

Katanya, antara koleksi yang dipertontonkan secara eksklusif kepada orang ramai termasuk edisi terhad “Voice Activated Robosen Hasbro Optimus Prime” serta “Haslab Unicron” yang harganya mencecah RM5,000 seunit dan hanya terdapat 10,000 unit keluaran di seluruh dunia.

“Kami anggarkan bilangan pengunjung ke pameran selama dua hari ini adalah sekitar 3,000 orang dan diharap kerjasama dengan organisasi korporat seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang bukan sahaja di Pulau Pinang malah seluruh negara,” katanya yang merupakan pengurus kejuruteraan fasiliti di sebuah syarikat pembuatan elektronik dekat Perai, di sini.

MUHAMMAD ANIS FAKHRI Mohd. Nesfu berbual bersama pengunjung pada pameran Transformers Collectors Exhibition 2023 di pusat membeli-belah Sunway Carnival, Seberang Perai, Pulau Pinang semalam.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Batu Pahat, Johor, Mariam Jamilah Kamaludin, 41, berkata, dia berasa teruja apabila berpeluang melihat figura eksklusif Transformers buat pertama kali secara lebih dekat sepanjang hidupnya.

“Macam-macam karakter ada termasuklah Optimus Prime. Sedikit sebanyak dapat mengimbau kenangan semasa kecil dahulu ketika menonton siri Transformers di televisyen,” katanya yang datang bersama keluarganya untuk bercuti selama beberapa hari.

Pengumpul figura eksklusif Transformers yang turut serta mempamerkan koleksi peribadi dalam pameran tersebut terdiri daripada Ahmad Fuaad Mokhtar, 43; Ahmad Fazlizan, 42, dan Muhammad Zahin Fakhri Abdul Rahim, 25. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya