Pakej RAHMAH Insurans, RAHMAH Takaful dilancar 

Pakej RAHMAH Insurans, RAHMAH Takaful dilancar 

SALAHUDDIN Ayub melancarkan Jenama Pakej Rahmah Insurans dan Takaful pada Majlis Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Jun 2023 di KPDN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Pakej RAHMAH Insurans dan Pakej RAHMAH Takaful yang menawarkan perlindungan komprehensif pada harga berpatutan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pakej itu ditawarkan dua syarikat takaful dan insurans terkemuka iaitu Allianz Malaysia serta Etiqa.

Beliau berkata, pelancaran kedua-dua pakej itu adalah seiring dengan hasrat KPDN memperluas pelaksanaan Program Payung RAHMAH agar turut meliputi segmen perlindungan diri dan harta benda (seperti kenderaan bermotor).

“Inisiatif Pakej RAHMAH Insurans oleh Allianz General diperkenal melalui Insurans PerlindunganKu Allianz4All yang menawarkan perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

“Pemegang polisi yang dimasukkan ke hospital kerajaan akibat sakit atau kemalangan akan menerima dua manfaat baharu iaitu pembayaran balik perbelanjaan perubatan dan bayaran bantuan kecemasan sekiranya berlaku pemindahan banjir sehingga RM750.

“Manfaat baharu ini ditambah tanpa kos tambahan dengan premium tahunan pada kadar RM53.00 dan RM79.50 (termasuk cukai jualan),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, Allianz General memperkenal perlindungan MotorcyclePlus yang menawarkan perlindungan tambahan seperti kemalangan diri sehingga RM10,000 untuk penunggang dan pembonceng motosikal.

Jelasnya, bagi pemegang polisi Allianz MotorcyclePlus Komprehensif pula, pemegang polisi menikmati perlindungan Peril Khas dan Bantuan Tepi Jalan sehingga 50 kilometer dan Faedah Bantuan Banjir sebanyak RM1,000 tanpa kos di samping perlindungan sedia ada yang dinikmati oleh pelanggan Allianz MotorcyclePlus. 

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, bagi Pakej RAHMAH Takaful oleh Etiqa, ia menawarkan perlindungan serta pampasan kepada peserta yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan atau penyakit atau kematian akibat kemalangan dengan perlindungan bernilai sehingga RM80,000.

Menurutnya, peserta pelan itu juga mempunyai fleksibiliti untuk membayar premium atau sumbangan bulanan hanya dengan RM5 atau tahunan dengan RM36.00 (termasuk cukai jualan). 

“Pelan ini layak dimohon oleh seluruh rakyat Malaysia yang berusia antara 16 tahun hingga 65 tahun dan boleh diperbaharui sehingga usia 70 tahun,” katanya.

Beliau berharap kedua-dua pakej insurans dan takaful itu dapat direbut oleh pekerja gig ekonomi terutama pemandu e-hailing dan p-hailing di negara ini.

Katanya, buat masa ini, hanya dua syarikat tampil menawarkan pakej itu dan diharapkan lebih banyak syarikat dapat menyertai inisiatif itu sekali gus memberi tawaran pelbagai kepada pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya