SHAH ALAM: Tindakan pemandu lori membawa barangan lebih muatan dengan alasan mengejar trip dan komisen tinggi memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa di sekitar Selangor kelmarin.
Kesalahan melibatkan 18 saman itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi Operasi Khas Lebih Muatan, bermula kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
Pengarah JPJ negeri, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi itu dijalankan sepasukan 10 pegawai penguat kuasa diketuai Ketua Bahagiannya, Mazlini Yusof di sekitar Batu 9, Meru, Kapar dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati empat kesalahan utama dikesan dilakukan pemandu lori yang ditahan.
“Kesalahan itu melibatkan membawa lebih muatan, tiada lesen memandu, tiada lesen perdagangan (GDL) dan cukai jalan tamat tempoh. Alasan pemandu lebih muatan itu antaranya kejar trip dan mengelak komisen rendah jika muatan yang dibawa rata,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Khairul Khar, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan ke atas semua jenis kenderaan supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kesalahan lalulintas boleh menyalurkannya kepada [email protected] atau aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan aduan,” ujarnya. – UTUSAN