DUA tahun selepas merangkul kejuaraan Anugerah Juara Lagu Ke-35, ramai merasakan perjalanan karier nyanyian Kaka Azraff semakin menyinar.
Namun, untuk memberikan karya yang baik dan setaraf lagu Gila itu bukan sesuatu yang mudah. Harapan pendengar juga perlu diambil kira sehingga mungkin itu akan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Kaka.
Tetapi ada yang beranggapan sukar untuk penyanyi lagu-lagu berkonsep urban merajai carta lagu popular. Apatah lagi, dengan lambakan penyanyi baharu, sedikit sebanyak memberi kesan terhadap graf karier Kaka.
Jawablah mendapatkan penyanyi Hilang itu. Benarkah dia tertekan memilih lagu baharu? Adakah dia ada ketakutan sendiri dalam dunia seni? Apakah dia juga pernah melalui fasa gelap dalam diari hidupnya? Kaka, Jawablah!
J: Selepas kejuaraan lagu Gila, adakah Kaka tertekan dalam mencari material baharu? Apatah lagi, pendengar pastinya meletakkan harapan lebih tinggi untuk karya-karya yang bermutu dan selevel Gila.
K: Tipu kalau tidak tertekan sebab banyak kali juga saya fikir, lagu macam mana selepas Gila. Saya lebih banyak berfikir. Tetapi itu satu perkara yang baik sebenarnya, buat saya lebih berfikir secara kritkal.
Selepas Gila, saya ada keluarkan tiga lagu Hilang, Janjiku dan Karma (duet bersama Jaz Hayat). Penerimaan peminat Alhamdulillah. Tetapi saya tak mahu terperangkap dalam zon selesa. Akan terus mencari karya terbaik.
J: Kaka dikenali sebagai penyanyi urban dan mempunyai kelompok peminat tersendiri. Pernah tak Kaka mempunyai perasaan takut tatkala menjejakkan kaki dalam dunia seni? Mungkin takut dengan penerimaan peminat?
K: Memang dulu saya takut nak masuk industri seni. Tetapi semua itu saya tutup dengan niat, mahu mencari rezeki. Bila dapat peluang dan ruang, takkan saya mahu sia-siakan. Semangat itu yang membara dalam diri saya.
Penerimaan peminat itu, saya tak boleh paksa. Apa yang saya boleh buat adalah beri yang terbaik. Niat saya satu, mencari rezeki untuk keluarga. Saya tak pernah fikir untuk jadi popular, cukup dikenali demi mencari rezeki.
J: Apa kenangan atau memori pahit yang sehingga kini mungkin Kaka tidak dapat lupakan? Pengalaman yang benar-benar mengajar Kaka erti kehidupan sebenar seorang anak seni.
K: Setiap orang ada jalan cerita dan ujian masing-masing. Orang ingat artis ini hidup gah, mewah tetapi sebenarnya kami juga ada struggle sendiri. Saya pernah berada di satu fasa nak bayar bil elektrik pun tak ada duit.
Sampai saya kena pergi gymnasium di kawasan untuk tumpang bersiap dan pergi ke farmasi untuk guna tester alat solek sebelum membuat persembahan. Saya lalui semua itu seorang diri, sedih pun seorang. Tetapi semua itu terlindung dengan tatarias dan busana yang terlihat mewah di mata peminat.
J: Pernah dibuli atau direndahkan penggiat seni lain? Sementelah, ramai anak seni yang mungkin berdepan masalah kemurungan dan gangguan mental kerana tertekan. Kaka pula bagaimana?
K: Alhamdulillah, sepanjang sedekad saya dalam industri, Tuhan pertemukan saya dengan orang-orang yang baik. Mereka semua mahu lihat kami berjaya. Saya gembira perjalanan karier saya lancar tanpa ada iri dari sesiapa.
J: Tahniah, Kaka baru sahaja melahirkan anak ketiga. Hero lagi. Bagaimana kehidupan peribadi Kaka sekarang? Bersama anak-anak dan suami?
K: Setiap kali bercakap soal keluarga dan apa yang saya miliki sekarang, memang tidak berhenti ucap syukur. Alhamdulillah atas kurniaan Tuhan ini. Hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, banyak yang saya belajar dan perbaiki.