Operasi Naman: JKDM Perlis banteras 13 kes penyeludupan barangan subsidi - Utusan Malaysia

Operasi Naman: JKDM Perlis banteras 13 kes penyeludupan barangan subsidi

ISMAIL Hashim (empat dari kiri) turun padang bersama pegawai dan anggota Kastam Thailand bagi meninjau pelaksanaan Operasi Naman 2023 bermula pada 6 sehingga 23 Jun lalu. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mematahkan 13 kes penyeludupan barangan bersubsidi yang cuba diseludup keluar ke negara jiran menerusi Operasi Naman 2023 bermula pada 6 sehingga 23 Jun lalu.

Selain itu, JKDM juga berjaya mematahkan sembilan kes penyeludupan barang tidak berkastam membabitkan rokok dan minuman keras serta satu kes penyeludupan migran.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, jumlah anggaran nilai barangan yang dirampas dalam operasi berkenaan termasuk kenderaan disita adalah sebanyak RM438,309.93.

“Jumlah keseluruhan duti dan cukai terlibat menerusi rampasan ini adalah berjumlah RM218,791.92,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, bagi kes penyeludupan migran, dua individu yang dipercayai terlibat telah dituduh di mahkamah pada 23 Jun lalu di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

Katanya, menerusi operasi itu, JKDM Perlis berharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung pendirian tegas jabatan dalam memerangi isu penyeludupan barangan bersubsidi ke luar negara.

“Ini sekali gus mendorong kepada pematuhan perundangan sedia ada termasuklah Akta Kastam 1967, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, operasi berkenaan juga mendapat kerjasama sebaiknya daripada Kastam Thailand dalam bersama-sama mengekang aktiviti penyeludupan sempadan.

Katanya, objektif utama operasi itu yang dilaksanakan secara sinergi bersama Kastam Thailand berupaya mempamerkan kekuatan JKDM melalui penyatuan semua sumber ke arah menyekat dan membanteras aktiviti penyeludupan.

“Di samping itu, operasi sebegini turut menunjukkan bahawa Kastam Malaysia bersama Kastam Thailand serius dalam usaha menangani aktiviti penyeludupan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya