Op Samseng Jalanan: 44 motor disita, 128 saman dikeluarkan - Utusan Malaysia

Op Samseng Jalanan: 44 motor disita, 128 saman dikeluarkan

SEBANYAK 44 buah motosikal disita dan 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di sekitar jalan berhampiran IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang petang kelmarin. - GAMBAR: FACEBOOK IPD SPS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BATU KAWAN: Sebanyak 44 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan berhampiran kawasan gedung perabot terkemuka, IKEA di sini, kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, dalam operasi sama, sebanyak 128 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Terdahulu, katanya, operasi itu dijalankan hasil risikan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPS dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

“Mereka ditahan kerana mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

“Ketika ini, kesemua penunggang yang berusia antara 17 hingga 26 tahun dibawa ke IPD SPS untuk tujuan dokumentasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Mohd. Norazmi menasihatkan semua penunggang motosikal supaya tidak berkumpul sehingga boleh menyebabkan berlakunya gangguan terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam hal ini juga, polis ingin menasihatkan kepada semua pemilik motosikal supaya tidak membuat sebarang pengubahsuaian terhadap motosikal masing-masing tanpa kebenaran,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN