KLANG: Seorang lelaki nyaris maut apabila hampir separuh badannya melecur akibat rumah sewa yang didiami bersama rakannya terlibat dalam kebakaran di Jalan Rebung, Bukit Kapar, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Muhammadul Ehsan Mohd. Zain berkata, mangsa berkenaan berusia 38 tahun mengalami 45 peratus lecur di tubuhnya seperti di lengan, tangan, lutut, betis dan beberapa kawasan lain.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah yang mempunyai lima pintu kesemuanya yang mana dua mangsa itu sedang tidur ketika kejadian.
“Apabila kebakaran itu berlaku, dua mangsa tersebut terus keluar untuk menyelamatkan diri, namun salah seorang daripada mereka lecur di tubuhnya akibat terkena api kebakaran,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurutnya, bomba sebelum itu menerima panggilan pukul 5.21 pagi daripada orang awam dan seramai 20 anggota termasuk pegawai dari tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Sungai Pinang dan Kota Raja ditugaskan menjalankan operasi memadamkan kebakaran.
Kata Muhammadul Ehsan, pasukannya berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pukul 5.40 pagi dan rumah tersebut dianggarkan 60 peratus terbakar.
“Mangsa yang melecur telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi menerima rawatan. Jumlah kerugian dan punca kebakaran sedang kami siasat,” ujarnya. – UTUSAN