Norfarisya tak kekok jaga 1,000 ekor lembu - Utusan Malaysia

Norfarisya tak kekok jaga 1,000 ekor lembu

NORFARISYA Azhar membawa lembu kesayangannya bernilai RM9,000 keluar dari kandang di Kampung Kemumin, Sabak, Kelantan. – MINGGUAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang gadis tidak kekok menjaga 1,000 ekor lembu yang diternak bapanya untuk dijual kepada pelanggan bagi ibadah korban.

Norfarisya Azhar, 18, ber­anggapan status jantina­nya tidak boleh dijadikan penghalang terlibat dalam bidang ternakan meskipun pekerjaan itu dipelopori lelaki.

Menurutnya, dia meminati bidang ternakan lembu sejak berusia 11 tahun dan membantu bapa, Azhar Che Abdullah, 53, bersama tiga pekerja menjaga 1,000 ekor lembu baka Brahman dan kampung.

“Setakat ini 800 ekor lembu sudah habis terjual untuk ibadah korban. Baki 200 ekor lembu lagi mungkin mempu­nyai pemilik baharu menjelang Aidil­adha tidak lama lagi.

“Lembu-lembu di sini keba­nyakannya mudah diuruskan. Saya boleh menjinakkan lembu terutamanya baka Brahman sehingga ia boleh ditunggang seperti kuda,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kemumin, Sabak di sini.

Norfarisya memberitahu, pengalaman mengikuti bapanya dalam menternak lembu menjadikan dia tidak kekok malah tahu segala aspek dalam penternakan haiwan tersebut.

Menurutnya, dia akan memandikan lembu, memberi makan, memotong rumput dan memberi dedak kepada setiap haiwan ternakan di ladang milik bapanya itu.

“Dengan semua ilmu yang dipelajari, ayah telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjaga ladang lembu di kawasan seluas 4.8 hektar ini.

“Sepanjang menjadi penternak, saya pernah mengalami kecederaan termasuk patah jari dan ditanduk lembu yang baharu sampai ke kandang ini. Alhamdulillah, kini saya boleh menjinakkan lembu liar de­ngan bacaan doa bagi mengelak ditanduk atau ditendang haiwan terbabit,” katanya.

Norfarisya berkata, dia yang kini turut belajar agama di sebuah pondok di Wakaf Bharu, Tumpat ketika ini bercita-cita untuk menjadi penternak yang berjaya pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya