KUALA LUMPUR: UMNO bukan lagi sebuah parti yang dominan, sekali gus Wanita UMNO harus menerima kerjasama yang dijalinkan dalam dunia politik baharu hari ini.
Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kerjasama ini perlu diteruskan bagi mengekalkan survival parti sekali gus menjamin kestabilan Kerajaan Perpaduan yang kini melibatkan 19 parti berbeza.
“Setelah enam bulan kita bersama di dalam kerajaan perpaduan ini, masih ingat lagi saya bagaimana ianya bermula. Ketika Barisan Nasional membuat keputusan untuk mengadakan kerjasama dengan
parti-parti lain bagi membentuk kerajaan perpaduan, ramai pendukung parti yang terpinga-pinga, ada yang terkejut, ada yang kecewa dan ramai juga yang bimbang mengenai masa depan parti ini.
“Ingatlah, kita bukan lagi sebuah parti dominan. Kita tidak akan bertanding semua kerusi. Kita perlu bermuafakat. Kita perlu berkompromi. Demi membawa kemenangan kepada kerajaan perpaduan, yang kita dukung bersama.
“Kita hendak kerjasama ini disulam dengan satu tindakan kerja yang lebih kukuh di peringkat akar umbi, tanpa meminggirkan nilai dan ideologi asas UMNO,” katanya dalam ucapan dasar perasmian sayap Wanita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.
Noraini bagaimanapun turut menegaskan, meskipun gabungan parti dibuat bersama parti lain bagi membentuk kerajaan, namun prinsip dan pendirian parti sebagai asas perjuangan tidak sesekali diabaikan.
“UMNO akan kekal konsisten menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.