Nilai tanah Bagan Datuk naik mendadak - Utusan Malaysia

Nilai tanah Bagan Datuk naik mendadak

JAMBATAN Bagan Datuk-Kampung Sejagop yang dibuka kepada orang ramai baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Nilai tanah di Bagan Datuk naik mendadak sejak Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop yang menghubungkan tiga daerah di Perak dan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dilancarkan baru-baru ini.

Jambatan bernilai RM460 juta itu dijangka mampu memberi impak besar terhadap pembangunan Bagan Datuk dalam jangka panjang khususnya dalam usaha menarik pelaburan.

Ia memendekkan masa perjalanan ke Lembah Klang dan Pelabuhan Lumut selain meng­hubungkan Bagan Datuk de­ngan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Apabila WCE siap sepenuh­nya nanti, perjalanan dari Lembah Klang ke Bagan Datuk ha­nya mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit berbanding hampir tiga jam sekarang.

Malah semasa majlis pembukaan jambatan itu baru-baru ini, sudah ada pihak yang mengiklankan jualan tanah berdekatan jambatan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrulzaman Yahya mengakui pembinaan jambatan tersebut bakal memberikan impak segera terhadap pembangunan daerah ini.

Malah katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah pun mengumumkan menarik pelaburan syarikat besar dalam bidang industri automotif dan perkapalan antarabangsa hanya disebabkan pembinaan jamba­tan tersebut.

Menurutnya, pengumuman itu secara tidak langsung menaikkan nilai tanah di daerah ini kepada pihak yang berminat untuk membuat pelaburan atau perniagaan di sini.

“Sebelum ini, pekan Bagan Datuk sunyi, namun berubah menjadi sibuk dalam sekelip mata berikutan siapnya Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop, secara tidak langsung menaikkan nilai tanah di sini.

“Jambatan ini juga memudahkan perhubungan penduduk, juga untuk membawa keluar hasil tanaman yang mereka usahakan.

“Bagi pemilik sendirian ta­nah yang mengusahakan tanaman kelapa dan sawit, lebih mudah untuk memasarkan hasil mereka.

“Nasihat saya kepada pemilik tanah persendirian yang berada di kawasan kampung, jaga dengan baik dan jangan jual tanah walaupun ditawarkan harga yang tinggi kerana tanah itu boleh dibangunkan dengan pembangunan atau pertanian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya