KUALA LUMPUR: Pertimbangan mengenai negara mana yang akan menjadi tuan rumah dalam penubuhan Tabung Kewangan Asia (AMF) bergantung kepada kesepakatan negara-negara di rantau Asia.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penubuhan AMF itu buat masa ini baru di peringkat cadangan, namun ia dilihat sebagai langkah seterusnya dalam kerjasama kalangan negara serantau untuk membantu negara terlibat ketika menghadapi krisis.
“Saya hadir mesyuarat Bank Pembangunan Asia (ADB) di Incheon awal bulan Mei dan memahami apakah tugas ADB melibatkan 68 negara serta bagaimana kesukaran dan cabaran menubuhkan AMF,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya yang ingin tahu adakah Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi pengurusan tatakelola AMF seperti dicadangkan Perdana Menteri semasa lawatan ke China baru-baru ini serta sejauh manakah peranan Malaysia dalam perancangan AMF.
Menurut Ahmad, pada tahun 1997, Jepun pernah mencadangkan penubuhan AMF selepas berlaku krisis ekonomi ASEAN ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, cadangan berkenaan terhenti dan baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan semula AMF ketika lawatan ke Bangkok, China dan Indonesia ketika Sidang Kemuncak ASEAN pada 10 Mei lalu.
“ini baru peringkat cadangan, walaupun demikian dari segi penggunaaan mata wang perdagangan antara negara bagi kerjasama penyelesaian perdagangan, negara yang menggunakan mata wang masing-masing ialah China (renminbi) 16 peratus, Thailand (baht) 16.1 peratus dan Indonesia (rupiah)16.6 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, pelbagai inisiatif diadakan bagi mengukuhkan keupayaan negara dan meningkatkan keyakinan negara-negara Asia terhadap potensi ekonomi negara dalam rantau Asia.
Katanya, pada peringkat ASEAN+3 (ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan), inisiatif yang diusahakan termasuklah Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), yang merupakan pengaturan pertukaran mata wang antara negara-negara ASEAN+3.
Jelas beliau, inisiatif ini membolehkan negara serantau berkongsi dana sekiranya salah sebuah negara mengalami krisis mudah tunai (liquidity crisis).
“Kerjasama ini turut diperkukuhkan melalui penubuhan sebuah institusi pengawasan ekonomi serantau iaitu Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (ASEAN+3 Macroeconomic Research Office, AMRO),” katanya.
Pada masa sama, katanya, pada peringkat ASEAN, Malaysia melaksanakan pengaturan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) bersama dengan Indonesia dan Thailand bagi memudahkan negara-negara terlibat menggunakan mata wang tempatan untuk transaksi dua hala melibatkan perdagangan dan pelaburan.
Beliau berkata, baru-baru ini, pemimpin-pemimpin ASEAN melalui Deklarasi Peningkatan Kesalinghubungan Pembayaran Serantau dan Penggalakan Transaksi Mata Wang Tempatan bersetuju untuk menggalakkan lagi penggunaan mata wang tempatan untuk transaksi ekonomi dan kewangan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Ini merupakan langkah awal untuk mengurangkan kebergantungan kepada AS$ dan meningkatkan lagi kestabilan kewangan serantau.
“Negara-negara serantau akan terus meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan mekanisme dari semasa ke semasa supaya kestabilan ekonomi dan kewangan serantau terus terjamin,” katanya. – UTUSAN